fbpx
Beruang matahari Borneo dipilih sebagai ikon terbaik untuk menyampaikan mesej pengurusan wang dengan berhemah sambil berhibur kepada masyarakat.

Kempen Ketahanan Kewangan tampilkan Chief BerUang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Perbadanan­ Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah memulakan Kempen Ketahanan Kewangannya dengan menampilkan Chief BerUang untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang pengurusan kewangan yang berhemah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafiz Azuan Abdullah berkata, syarikat memilih beruang matahari Borneo kerana ia adalah salah satu daripada haiwan ren­tan Malaysia yang disenaraikan oleh International Union for Conservation of Nature’s Red List of Threatened Species (IUCN).

Ia dipilih sebagai Chief Ber­Uang bagi menyokong usaha syarikat untuk meningkatkan daya tahan kewangan rakyat Malaysia di media sosial.

Menurut beliau, kempen bermula dengan siri video animasi menampilkan Chief BerUang, sebagai hos dalam rancangan bual bicara mengenai pengurusan kewangan yang bijak.

“Tabiat menyimpan dan memperuntukkan dana kecemasan, akan membantu rakyat Malaysia menghadapi pelbagai kesukaran hidup bagi tempoh jangka panjang.

“Chief BerUang adalah ikon terbaik untuk menyampaikan mesej mengenai pengurusan kewangan yang bijak dengan cara yang menghiburkan kepada audiens media sosial.

“Ini merupakan program pertama daripada pelbagai program yang dirancang di bawah Kempen Ketahanan Kewangan PIDM pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu, Rafiz Azuan menjelaskan, melalui kempen tersebut, orang ramai boleh menyertai webinar dan perbincangan panel secara maya mengenai pengurusan kewangan, cabaran simpanan selama 21 hari serta pelbagai aktiviti yang menawarkan hadiah menarik untuk dimenangi.

Pada masa sama, PIDM juga telah mengambil lima ekor beruang matahari (tiga jantan dan dua betina) di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC), Sabah sebagai haiwan ang­kat.

POPULAR