fbpx

Ibu cemas anak dan kereta dilarikan penagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar gambar dalam media sosial menunjukkan suspek ditahan orang ramai dalam kejadian di Seri Manjung pagi tadi.

LUMUT – Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta Perodua Bezza miliknya bersama seorang anak perempuan, yang ditinggalkan di depan premis perniagaan di Seri Manjung dilarikan seorang penagih dadah pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita tersebut meninggalkan anak perempuannya berumur 12 tahun di dalam kereta dalam keadaan enjin dan penghawa dingin dihidupkan serta tidak berkunci, untuk membeli barang di kedai haiwan di kawasan Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata tidak lama kemudian, wanita itu mendapati keretanya telah tiada di tempat meletak kenderaan.

“Dalam keadaan mencemaskan itu, wanita tersebut melihat seorang lelaki yang tidak dikenali telah membawa lari kereta bersama anak perempuannya itu.

“Wanita berusia 36 tahun itu cuba untuk menghalang keretanya namun suspek telah memecut laju kereta itu dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Nor Omar, orang ramai yang melihat kejadian itu segera membantu dan berjaya menahan suspek lalu kereta serta anak pengadu telah dapat diselamatkan.

Jelasnya, anggota Balai Polis Sitiawan dibantu oleh anggota kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung tiba di tempar kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari dan membuat tangkapan semula ke atas suspek berumur 24 tahun itu.

Menurutnya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metamphetamine atau syabu.

Katanya, suspek tiada rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Nor Omar berkata, polis masih menyiasat motif kejadian itu dan suspek masih tidak dapat disoal siasat sebab masih di bawah pengaruh dadah.

Jelasnya lagi, kanak-kanak perempuan itu selamat tanpa sebarang kecederaan dan dalam keadaan baik.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI