fbpx

Wanita dalang sindiket pengedaran dadah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah disyaki jenis methamphetamine dan Heroin yang dirampas ketika penahanan suspek di sekitar Taman Danau Kota kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita disyaki dalang sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan polis di sekitar Taman Danau Kota di sini kelmarin.

Penahanan suspek turut membawa kepada pelbagai rampasan membabitkan dadah, wang tunai, sitaan emas, jam tangan dan sitaan kenderaan bernilai RM495,655.75.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, operasi pada pukul 5.37 petang itu telah dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Johor.

“Suspek wanita warga tempatan berusia 43 tahun itu telah ditahan ketika memandu kereta jenis Toyota Yaris di Taman Danau Kota di sini.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan dan di sebuah kondominium di Taman Ibu Kota Setapak, polis telah berjaya membuat rampasan dadah yang disyaki methamphetamine seberat 10.10 kg dan heroin (0.15 kg) yang boleh dibekalkan kepada 11,116 penagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut merampas sebuah kereta jenis Volkswagen, cincin emas(5), gelang emas(2), seutas rantai leher dan wang tunai bernilai RM5,478.

“Siasatan awal mendapati, rumah tersebut telah disewa selama empat bulan oleh suspek dengan bayaran sebanyak RM1,500 sebulan.

“Kita percaya dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi suspek warga tempatan yang dikesan aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Tambah Adnan, ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau. Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula semalam hingga Isnin depan. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI