fbpx

Polis terus pantau pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLI Mohd. Noor (kiri) melakukan pemantauan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Lipis hari ini.

LIPIS – Polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana majikan yang masih ingkar dengan arahan kehadiran 30 peratus kakitangan ke pejabat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, polis ada menerima maklumat mengenai perkara itu dan melakukan pemantauan berterusan di semua premis kerajaan dan swasta di daerah ini.

“Sebenarnya kita lebih kepada memberikan pendidikan dan amaran awal tetapi jika pemeriksaan kedua mereka masih ingkar kita akan mengenakan kompaun kepada majikan yang membenarkan mereka hadir melebihi daripada 30 peratus dibenarkan.

“Kita akan teruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan 30 peratus kehadiran kakitangan ini dilaksanakan sepenuhnya yang mana tindakan kompaun boleh dikenakan sehingga RM20,000 jika ingkar arahan ini,”katanya selepas melakukan tinjauan di beberapa pejabat agensi kerajaan dan swasta di negeri ini.

Mengulas mengenai pemantauan hari ini, beliau berpuas hati apabila majikan mematuhi arahan 30 peratus pekerja di pejabat selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lain yang ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, pihak polis akan terus melakukan pemantauan dan operasi bagi memastikan arahan yang diberikan dan SOP ditetapkan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa dipatuhi.

Dalam pada itu beliau berkata, polis melakukan kawalan ketat di Sekatan Jalan Raya (SJR) termasuklah di sempadan negeri Pahang dan Kelantan iaitu di SJR Kilometer 96 Merapoh-Gua Musang.

Katanya, selain kawalan 24 jam pihaknya turut mengenalpasti laluan-laluan tikus dan melakukan pemantauan berterusan bagi mengelakkan tindakan rentas negeri tanpa kebenaran.

“Pada masa ini terdapat satu laluan tikus dikenalpasti dan ia telah diletakkan dengan penghadang konkrit selain pemantauan harian dilakukan,”ujarnya.

Sementara itu, difahamkan masih terdapat majikan yang mengambil mudah terhadap arahan 30 peratus kakitangan di pejabat dan tidak menyediakan garis panduan atau jadual kepada pekerja mereka.

Seorang pekerja sebuah bank yang enggan dikenali berkata sehingga kini mereka belum mendapat arahan untuk menyediakan jadual kerja bagi menetapkan kehadiran 30 peratus pekerja.

“Kami ada membangkitkan perkara ini tetapi alasan yang diberikan adalah mereka (majikan) tidak mendapat arahan daripada ibu pejabat untuk berbuat demikian,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI