fbpx

PM terima panggilan telefon pemimpin Hamas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau menerima berita mengenai situasi semasa di Palestin melalui panggilan telefon daripada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang berada di Semenanjung Gaza.

Muhyiddin berkata, beliau amat terkesan mendengar perkhabaran daripada pemimpin Hamas itu berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin khususnya Semenanjung Gaza yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel,” katanya dalam hantaran menerusi aman Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam perbualan telefon itu, Muhyiddin berkata, Ismail sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan berterima kasih atas bantuan berterusan yang diberikan.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan pendirian serta usaha telah dan sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin tatkala menghadapi detik sukar ini.

Pada masa sama, beliau turut mengulangi komitmen Malaysia dalam mencari jalan untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu meringankan kesukaran rakyat Palestin.

“Saya juga berkongsi keprihatinan dan inisiatif dilakukan badan bukan kerajaan di Malaysia serta rakyat Malaysia yang kini giat menganjurkan bantuan kemanusiaan serta bersolidariti dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin pada waktu mencabar ini,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan, Malaysia akan bekerjasama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

Muhyiddin dalam perutusan khasnya mengenai isu Palestin berkata, Malaysia mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Kata Muhyiddin, Malaysia juga dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan serta-merta kekejaman Israel ke atas Palestin yang merupakan satu jenayah perang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza yang mana hingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI