fbpx
GAMBARAN ilustrasi mengenai misteri pasangan diraja yang dirakam gambarnya oleh seorang anggota keselamatan dua tahun lalu dalam Gua Raja. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri kelibat raja dalam gua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERLETAK di Kampung Gunung Hulu iaitu lebih kurang 8 kilometer dari pusat bandar Alor Setar, Kedah, puncak Gunung Keriang sentiasa menjanjikan pemandangan cukup mempersonakan.

Gunung batu kapur berketinggian 217.92 meter dari aras laut itu dikelilingi sawah padi menghijau, sekali gus menjadi daya tarikan kepada orang ramai.

Tidak hairanlah gunung dikenali sebagai Mount Caves atau Bukit Gajah dalam kalangan masyarakat Cina sering menjadi tumpuan para pendaki dan penggemar sukan lasak.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui gunung berkenaan peninggalan prasejarah silam yang mengandungi pelbagai misteri dan khazanah berharga di dalamnya.

Selain terkenal dengan cerita mitos, Gunung Keriang juga menyimpan kisah mistik yang pernah dilalui penduduk serta pendaki.

Seorang penduduk tempatan, Nazril Azdin Jamaludin, 49, berkata, dia sendiri pernah melalui pengalaman aneh dan menyeramkan sewaktu meneroka Gua Raja yang tersebut di gunung tersebut kira-kira dua tahun lalu.

Ceritanya, dia bersama beberapa anggota keselamatan berpeluang meneroka gua itu buat pertama kali bagi mengenal pasti potensinya kepada sektor pelancongan Kedah.

Dia memaklumkan, sewaktu di dalam gua yang terletak 200 meter dari aras laut itu, seorang anggota keselamatan berkesempatan merakam beberapa keping gambar di sekitarnya sebagai kenangan.

“Apabila turun dari gunung, anggota itu mengesan sesuatu yang aneh pada sekeping gambar di dalam gua yang dirakam menerusi telefon bimbitnya.

“Di dalam gambar itu kelihatan pasangan diraya yang lengkap berbusana kesultanan Melayu zaman silam. Si lelaki siap bertengkolok dan keris, manakala perempuan pula bersanggul rapi.

“Kelibat pasangan dalam gambar itu sangat jelas sehingga menampakkan raut wajah lelaki dalam gambar itu kelihatan bengis dengan usia dianggarkan sekitar 60-an,” ceritanya.

Rentetan peristiwa itu, anggota keselamatan tersebut demam akibat terkejut.
Ekoran itu, anggota terbabit memadam gambar tersebut kerana khuatir terjadi perkara tidak diingini kepada dirinya.

Akibat daripada peristiwa aneh itu jugalah, pihak berwajib telah bersetuju untuk menamakan gua tersebut sebagai Gua Raja.

Menurutnya lagi, kelibat pasangan diraja itu masih menjadi misteri hingga kini kerana tiada kisah mengenainya diceritakan orang tua dahulu.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk tempatan percaya asal-usul terbentuknya Gunung Keriang di tengah-tengah sawah itu disebabkan satu cerita mitos pada zaman silam.

Menurut cerita orang tua dahulu, pada zaman dahulu, ada makhluk aneh dan mistik bernama Sang Gedembai yang jatuh cinta dengan seorang puteri raja.

Malangnya, lamaran Sang Gedembai untuk berkahwin dengan puteri raja cantik itu ditolak sekali gus mengundang kecewa dan marah.

 

GUNUNG Keriang yang dikelilingi sawah padi sebenarnya menyimpan pelbagai kisah mistik dan misteri.

Rentetan penolakan tersebut, puteri raja berkenaan yang ketika itu belayar di atas sebuah kapal di lautan luas disumpah oleh Sang Gedembai menjadi batu.

Sang Gedembai merupakan makhluk bertubuh badan tinggi dan besar yang dapat menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu.

Menariknya, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan Gunung Keriang berasal daripada sebuah kapal iaitu berdasarkan penemuan tali panjang sebesar lengan.

Kata Nazril Azdin, tali dijumpai di gunung berkenaan dipercayai digunakan sebagai penyambung antara sauh dan kapal.

“Dalam gunung juga ada sebuah gua dipercayai terdapat peninggalan serpihan pinggan yang banyak kepunyaan tuan puteri raja,” katanya.

Ada yang mengatakan gunung tersebut berasal daripada sebuah pulau berdasarkan kepada terdapatnya kulit-kulit kerang dan kepah di sekitarnya.

Dari segi geografinya, Gunung Keriang terdiri daripada rangkaian bukit-bukit yang terdapat di daerah Kota Setar, Yan dan Kubang Pasu. Antaranya termasuklah Bukit Kodiang, Bukit Choras dan Pulau Kerengga.

“Di bawah gunung ini terdapat sebuah kolam kecil dipercayai sesiapa yang terjatuh ke dalamnya akan timbul di tengah laut. Masyarakat tempatan percaya gunung ini dahulu adalah sebuah pulau,” tegasnya.

Gua Raja yang boleh diakses menerusi laluan trek itu sentiasa menjadi tumpuan pelawat untuk melihat keindahan semula jadi gua batu kapur serta bergambar di dalamnya.

Tegasnya, dia juga sering mendengar kisah segelintir pendaki yang tersesat sewaktu mendaki ke puncak Gunung Keriang meskipun terdapat trek pendakian dibina.

“Ada pendaki yang tersesat ini memaklumkan mereka tidak menyedari telah terkeluar dari trek sebenar. Mereka hanya tersedar tersalah laluan selepas bertemu dengan kumpulan pendaki lain,” ujarnya.

Justeru itu, Nazril Azdin sering menasihati pendaki supaya sentiasa menjaga kelakuan dan mulut sewaktu berada di atas gunung yang menyimpan pelbagai kisah mistik itu.

—————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN