fbpx
ZIANA ZAIN

[VIDEO] Air mata Syawal Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA figura yang sinonim dengan lagu-lagu bernada tinggi ini masih lagi relevan sebagai seorang daripada penghibur terkenal tanah air. Biarpun sudah 30 tahun memahat nama sebagai antara artis tersohor negara, Ziana Zain masih santun dan tidak menjadikan populariti yang dimilikinya sebagai ‘tiket’ untuk bermegah. Pertemuan penulis dengan pelantun Madah Berhelah untuk sesi fotografi istimewa Aidilfitri berjalan lancar dan mudah.

Ditambah pula, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, 53, sememangnya dikenali sebagai artis yang cukup ramah, bukan sahaja dalam kalangan rakan media, bahkan dengan seluruh peminatnya.

Anggun mengenakan sepasang busana indah berona biru dan putih rekaan pereka terkenal, Rizman Ruzaini, Ziana tidak lokek berkongsi cerita dan menjawab semua soalan yang diajukan, terutama berkaitan kehidupan selepas bergelar ibu tunggal.

SEPERTI orang lain, kerinduan Ziana untuk bertemu sanak-saudara terpaksa dipendamkan lantaran SOP PKP.

Hakikat

Menyelami kisah peribadinya setelah hampir tiga tahun berstatus solo, dialah ibu dan dialah juga bapa kepada keempat-empat orang anaknya.

“Selepas berpisah dengan bekas suami, alhamdulillah anak-anak reda dan faham dengan apa yang berlaku.

“Biarpun telah berpisah, hakikatnya bekas suami tetap bapa kepada anak-anak saya. Saya sentiasa jelaskan kepada anak-anak, apa yang berlaku (bercerai) itu adalah antara saya dengan bapa mereka,” ujarnya.

Ziana tahu, ada suara-suara sumbang menuduhnya cuba untuk memutuskan ikatan antara bekas suami dengan anak-anak.

“Saya selalu ingatkan anak-anak supaya bertanyakan khabar bapa mereka. Sebab dalam Islam waima apa yang berlaku, baik buruk ibu bapa, mereka tetap orang tua kita.

“Buat mereka yang gemar membuat tuduhan, biarlah saya dan anak-anak sahaja yang tahu. Orang luar boleh bercakap apa yang mereka mahu,” katanya.

Mendalami hati kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu, suasana tiba-tiba bertukar hiba. Ziana tampak sebak dan hilang kata-kata.

Beberapa kali wanita itu cuba melepaskan rasa syahdu, namun air matanya gugur jua.

ZIANA belum terfikir untuk mencari teman hidup. Di mata, hanya ada wajah anak yang perlukan sepenuh perhatian.

Dia tidak pernah tergamak untuk memutuskan hubungan antara seorang bapa dengan anak-anak.

“Benar hubungan antara saya dengan bekas suami telah berakhir. Tapi hubungan dia (bekas suami) dengan anak-anak akan kekal sampai bila-bila,” ujarnya.

Benar kata orang, ajal, maut jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tetapi ketika disoal tentang kemungkinan bertemu jodoh lain suatu hari nanti, Ziana berkata, buat masa sekarang dia cuma nampak wajah anak-anaknya.

“Mungkin sebab hati seorang perempuan. Kalau nak kata serik, ya memang serik. Tetapi jodoh pertemuan milik Allah SWT.

“Hari ini kita cakap tidak, esok lusa siapa tahu? Saya sentiasa minta kepada Allah SWT supaya dikurniakan saya dan anak-anak kehidupan lebih baik di dunia dan di akhirat. Itu sahaja yang saya mahukan,” kata Ziana sambil menyeka rinai air matanya.

Melanjutkan bicara tentang sambutan hari raya, Ziana berkata tidak banyak yang dilakukannya tahun ini.

MENGIMBAU kenangan raya bersama keluarga, Ziana bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya tinggal bersama di Shah Alam, Selangor.

Bersyukur

Semuanya cukup sekadar bersederhana, membelikan sepasang pakaian baharu untuk anak-anak dan biskut ‘tunjuk-tunjuk’.

“Baju anak lelaki senang. Baju untuk anak yang bongsu (Siti Nur Kaseh) yang susah sedikit sebab tiada saiz, badannya terlalu kurus.

“Soal tema baju raya, biasanya anak-anak lelaki yang buat keputusan sebab mereka sudah berpakat lebih awal. Ikutkan tahun ini, saya nak warna hijau, tetapi mereka mahukan warna merah. Jadi emak yang terpaksa mengalah,” katanya.

Mengimbau kenangan rasa bersama keluarga, Ziana bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya tinggal bersama di Shah Alam, Selangor.

Sedih memikirkan situasi pandemik yang masih mengganas, Ziana juga cukup menyedari nasib perantau di kota terpaksa yang menahan rindu kepada keluarga di kampung lantaran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sangat bersyukur kerana tidak perlu merentas negeri untuk menjenguk emak dan abah. Itu salah satu nikmat besar yang patut saya syukuri.

“Tengok individu lain rasa yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung, saya sedih dan berharap situasi segera pulih,” ujarnya.

Tahun ini, dia terpaksa membuat konsep ‘rumah tertutup’, tiada tetamu walaupun dalam kalangan adik beradik.

“Saya bimbang kesihatan anak-anak lebih-lebih lagi orang tua saya yang kian uzur. Abah sekarang berusia 84 tahun manakala mak berusia 70 tahun.

“Sedih juga sebenarnya sebab tidak dapat bertandang ke rumah saudara-mara di Melaka, lebih-lebih lagi mak yang dah lama tidak berjumpa dengan kembarnya,” tutur Ziana sambil menyeka air mata.

Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI Solekan BOBO CINTA (@bobocinta) Busana RIZMAN RUZAINI (@rizmanruzaini)