fbpx

Rusuhan di malam raya, 20 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara sisa pembakaran yang dirampas dipercayai digunakan sekumpulan penduduk untuk melakukan kecoh di Jalan Parit Raja, Batu Pahat, Johor tengah malam kelmarin.

BATU PAHAT- Polis berjaya menahan 20 individu dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan, menaikkan kain rentang serta membakar suar di Jalan Parit Raja, di sini, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kesemua tangkapan berusia 16 hingga 28 tahun yang merupakan penduduk setempat itu ditahan dalam operasi khas malam tadi.

“Kesemua 20 suspek ini dicekup melalui operasi khas di sekitar daerah Batu Pahat yang dilaksanakan bermula pukul 11 malam tadi.

“Polis sebelum itu merampas kain rentang, sisa-sisa pembakaran flare dan mercun yang berada di tempat kejadian.

“Kesemua tangkapan ini direman selama empat hari sehingga Isnin depan di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 269 KK, Seksyen 505(b) KK dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

“Selain itu kesemua suspek juga berdepan dengan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ismail, hasil siasatan mendapati, aktiviti rusuhan dilakukan pada 13 Mei, pukul 2 pagi dengan disertai kira-kira 40 individu.

“Kumpulan ini telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada penguna kenderaan selama 15 minit bagi menarik perhatian selain mengibarkan kain rentang serta membakar suar dan mercun di persimpangan Pekan Parit Raja di Kilometer 22.5 Jalan Batu Pahat – Kluang.

“Kumpulan ini kemudian telah membawa kain rentang sama untuk digantung di sebuah jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Ismail berkata, setakat ini kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau dan siasatan terperinci masih dijalankan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI