fbpx

Pemandu mengantuk, lori kontena terbalik melintang jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah lori kontena yang terbalik sehingga melintang jalan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang hari ini.

GUA MUSANG – Laluan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang – Kuala Krai berhampiran Bandar Utama di sini ditutup selama hampir lima jam selepas sebuah lori kontena muatan sarung tangan getah terbalik dalam kejadian pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu dipercayai berlaku selepas pemandu lori yang berusia 32 tahun mengantuk sebelum terlelap sewaktu melalui jalan berselekoh dan garisan berkembar.

Katanya, siasatan mendapati, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan berat itu dipercayai terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum hilang kawalan lalu terbalik.

“Bagaimanapun, pemandu lori yang berasal dari Segamat, Johor itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan itu menyebabkan ratusan pengguna jalan raya di kedua-dua arah terpaksa berpatah balik dan menggunakan laluan alternatif untuk ke Gua Musang atau Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Choon Foo, laluan berkenaan ditutup selama hampir lima jam apabila lalu lintas di kedua-dua arah ditutup sementara menunggu treler berkenaan dialihkan menggunakan sebuah kren.

Katanya, sementara jalan utama itu dibuka, pengguna jalan raya melalui jalan alternatif di dalam kawasan ladang kelapa sawit bagi mengelak terkandas lebih lama.

“Bagaimanapun laluan alternatif bertanah merah sejauh dua kilometer itu juga sesak dengan kenderaan kerana ia merupakan jalan sempit dan berlubang.

Katanya, polis telah menempatkan anggota untuk mengawal di lokasi kejadian bagi memantau keadaan trafik.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI