fbpx
Zaid bersama tiga orang anak ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu semalam.

Guru al-Quran sakit buah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang guru al-Quran hilang punca pendapatan selepas menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima sejak setahun lalu sehingga penglihatannya mula kabur.

Keadaan itu menyebabkan Zaid Zahari, 41, tidak dapat lagi pergi dari rumah ke rumah di Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh di sini untuk mengajar al-Quran.

Menurut bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, dia sudah mengajar al-Quran sejak 13 tahun lalu dan menerima bayaran sebanyak RM300 sebulan.

“Penyakit buah pinggang kronik ini telah mengakibatkan penglihatan saya menurun kepada 30 peratus. Pandangan saya kabur, malah tidak boleh lagi mengajar mengaji dan pergerakan juga terbatas.

“Sejak disahkan menghidap penyakit ini, saya buntu kerana tiada punca pendapatan. Mujur permohonan untuk mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 diluluskan pada Ogos tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya semalam.

Menurut Zaid, selain bayaran bulanan yang diterimanya ketika mengajar al-Quran dahulu, dia juga mendapat wang ihsan daripada pelajar-pelajar dan itu sudah cukup untuk menyaranya sekeluarga.

Katanya, wang bantuan JKM itu pula hanya mampu digunakan untuk membeli keperluan khas bagi penyakitnya seperti beras, barli, susu dan madu.

“Berat badan saya sekarang susut 22 kilogram (kg), daripada 63kg kepada 41kg. Sepatutnya, saya perlu menjalani ujian dialisis sebanyak dua kali seminggu.

“Bagaimanapun, saya terpaksa melupakan hasrat untuk rawatan itu kerana ia memerlukan kos sebanyak RM240 untuk sekali dialisis. Saya tidak mampu dan hanya boleh mengamalkan pemakanan yang sihat,” ujarnya.

Katanya, dia dan isteri, Norasidah Dollah, 35, kini berniaga menjual minyak urut dan sabun secara dalam talian bermula Di­sember tahun lalu untuk mencari rezeki bagi menampung per­belanjaan harian keluarga.

“Saya tidak boleh berpeluk tubuh dan perlu mencari jalan untuk melangsaikan bayaran sewa rumah sebanyak RM200 sebulan yang sudah tertunggak sejak le­bih setahun lalu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam atas nama Zaid Zahari,­ 03018020891014 atau menghubunginya di talian 011-2436 6081. -K! ONLINE.

POPULAR