fbpx

177,900 kekosongan jawatan sektor ekonomi suku pertama tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir

PUTRAJAYA – Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini, iaitu peningkatan 7.2 peratus berbanding 166,000 yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, statistik tersebut diterbitkan dalam laporan Statistik Guna Tenaga, Suku Pertama 2021 berdasarkan Survei Guna Tenaga dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta.

“Peningkatan kekosongan jawatan ini adalah selari dengan prestasi ekonomi yang lebih baik.

“Bagaimanapun, bilangan kekosongan jawatan itu masih belum mencapai paras normal seperti sebelum krisis yang merekodkan secara purata 200,000 kekosongan jawatan manakala, kadar kekosongan jawatan meningkat 0.2 mata peratus,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini adalah dalam kategori separuh mahir dengan 55.5 peratus atau 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800) dan berkemahiran rendah 21 peratus (37,400).

Katanya, mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan di sektor pembuatan dengan 100,900 kekosongan terutama di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600) diikuti oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700).

“Kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan jawatan dengan sebahagian besar di subsektor tanaman dan ternakan manakala 26,800 kekosongan jawatan di sektor perkhidmatan terutama aktiviti perdagangan borong dan runcit,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan keseluruhan jawatan, Mohd. Uzir berkata, bilangan jawatan di sektor ekonomi berkurang secara berterusan sejak empat suku tahun yang lepas kepada 8.44 juta jawatan, menurun sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun.

“Statistik ini menunjukkan bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walaupun bilangan kekosongan jawatan meningkat.

“Kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.260 juta jawatan diisi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat sejumlah 17,400 jawatan diwujudkan pada suku tahun ini meningkat 4 peratus berbanding suku tahun sebelumnya yang merekodkan 16,700.-K!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI