fbpx

Untung Hartalega RM2.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hartalega Holdings Bhd. (Hartalega) memperoleh keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM1.12 bilion bagi suku keempat tahun kewa­ngan berakhir 31 Mac 2021.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bertumbuh kepada RM1.51 bilion manakala perolehan me­ningkat kepada RM2.29 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata bagi tahun kewangan penuh, Kumpulan merekodkan PAT berjumlah RM2.9 bilion, PBT RM3.82 bilion dan perolehan sebanyak RM6.69 bilion

“Prestasi kukuh tahun ini disumbangkan oleh perolehan jualan lebih tinggi, dipacu oleh harga jualan purata lebih tinggi dan pe­ningkatan jumlah jualan, meskipun sedikit terkesan pada suku keempat di­sebabkan gangguan sementara pada rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu Mun Leong menjelaskan, meskipun program vaksinasi telah bermula, banyak negara di seluruh dunia telah menyaksikan gelombang baharu kes jangkitan Covid-19, terutamanya India, Amerika Selatan, Asia Barat dan Asia Tenggara.

Tambahnya, permintaan untuk bekalan perubatan termasuk sarung tangan nitril kekal tinggi, didorong peningkatan penggunaan sarung tangan daripada pasaran membangun yang memiliki penggunaan per kapita rendah dan kesedaran untuk penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

“Kami komited untuk memainkan peranan dalam rantaian nilai penjagaan kesihatan dengan terus membekalkan sarung ta­ngan berkualiti untuk petugas barisan hadapan di seluruh dunia.

“Bagi menyokong negara me­lawan pandemik, kami turut menyumbang sejumlah RM90 juta kepada Dana Covid-19 kerajaan pada Februari lalu,” katanya.

Mun Leong berkata, menuju ke hadapan, kapasiti penge­luaran tahunan Kumpulan akan bertambah kepada 63 bilion ke­ping sarung tangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun menerusi langkah pembesaran Kompleks PengilanganSarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) miliknya di Sepang.

Sementara itu, Kumpulan mengumumkan pendapatan sesaham (EPS) bagi suku keempat bertumbuh kepada 32.75 sen manakala untuk tahun kewangan penuh, EPS bertambah baik kepada 84.43 sen. Aset bersih sesaham berada pada paras RM1.45 setakat 31 Mac 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI