fbpx
Wan Rosdy

Pahang pertimbang PKP jika kes terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kerajaan Pahang sedia mempertimbangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kadar kebolehjangkitan Covid-19 di negeri itu terus meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan langkah terakhir yang boleh dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan penularan wabak itu tidak terus berlaku hingga mendatangkan risiko kepada penduduk.

“Buat masa ini, kerajaan negeri bercadang mengenakan peraturan lebih ketat selepas menyaksikan peningkatan kes tidak dapat dikawal dengan baik dan jika keadaan ini berterusan, kita terpaksa mempertimbangkan pelbagai pilihan lain, termasuklah melaksanakan PKP seperti di Mukim Gali dan Tras, Raub sejak Khamis lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.

Jelas beliau, perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di negeri itu agak membimbangkan dan memaksa kerajaan negeri memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan aktiviti sosial sepanjang bulan Ramadan.

Bagi memastikan usaha mengurangkan kadar kebolehjangkitan terus meningkat, beliau mencadangkan lima pendekatan baharu selepas diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pagi tadi (semalam).

“Saya dapati perkembangan (penularan) Covid-19 dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini di Pahang masih berada dalam keadaan agak membimbangkan.

“Buat masa ini, empat daerah di Pahang berada dalam kategori zon merah iaitu Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub, dengan 354 kes aktif.

“Pengumuman kerajaan (persekutuan) mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan kawasan Taman Tanah Putih Baru, Kuantan bermula tengah malam ini juga perlu diberi perhatian oleh kita semua agar terus berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Menurutnya, kerajaan Pahang juga memutuskan untuk menghadkan aktiviti atau penganjuran majlis rasmi berbentuk perhimpunan membabitkan ramai orang, menghadkan pergerakan rentas masuk dan keluar daerah serta memastikan semua SOP ditetapkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membabitkan aktiviti di masjid atau surau sepanjang bulan Ramadan dipatuhi sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, ujarnya, pematuhan SOP terutamanya penjarakan fizikal di kedai makan perlu dipantau sepanjang masa oleh pihak berkuasa, termasuk melakukan semakan semula dengan kadar segera berkaitan jumlah kehadiran pengunjung bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, bersesuaian dengan keluasan tapak bazar berkenaan bagi mengelak pelanggaran SOP seperti menyukarkan penjarakan fizikal.

Berdasarkan rekod terkini Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, jumlah terkumpul kes positif Covid-19 di Kuantan ialah 1,470 kes dengan 143 adalah kes aktif membabitkan sembilan kluster.

Jumlah sampel yang belum diperoleh keputusan saringan pula ialah sebanyak 647 sampel dan 1,942 orang pula dikenakan perintah kuarantin di rumah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN