fbpx

Mencari Rahmat, dari pentas ke layar perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA kali ditangguhkan tayangan, Mencari Rahmat sekali mengesahkan tayangan umum pada 10 Jun depan.

FILEM Mencari Rahmat pernah dijadualkan tayangan pada 18 Jun 2020 kemudian ditunda ke 31 Disember 2020. Tarikh berkenaan bagaimanapun tidak mengizinkan filem karya dan arahan Al Jafree Md Yusof itu menembusi layak perak akibat penutupan sementara operasi pawagam bermula 2 November akibat kemaraan pandemik Covid-19.

Selepas dua kali penundaan, Mencari Rahmat sedang menunjukkan kepastian. Naskhah yang diilhamkan daripada drama pentas The Importance Of Being Earnest berkenaan telah disahkan untuk tayangan umum bermula 10 Jun depan.

Sebagai pengarah, Al Jafree sebenarnya meletakkan harapan tinggi agar filem sulungnya mendapat sambutan penonton.

BARISAN pelakon dalam Mencari Rahmat dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang luas di pentas teater.

“Kalau berdasarkan sesi tayangan yang pernah dibuat sebelum ini pada tahun 2018, naskhah ini mendapat sambutan baik di semua lokasi.

“Jadi sudah tentu saya berharap Mencari Rahmat turut mendapat respons sama apabila ditayangkan di pawagam nanti,” ujarnya.

Bercakap tentang penghasilan Mencari Rahmat, Al Jafree menjelaskan, karya berkenaan mendapat inspirasi daripada naskhah terkenal nukilan Oscar Wild, The Importance Of Being Earnest.

“Sebenarnya keinginan untuk menghasilkan filem ini timbul setelah saya membaca naskhah hasil karya Oscar Wilde itu pada tahun 1981.

“Saya menganggap The Importance Of Being Earnest sangat menarik, terutama sekali subjeknya sangat relevan dan begitu sesuai pada masa sekarang,” ujar Al Jafree.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan filem ini , Al Jafree memberitahu antara cabaran yang dilaluinya apabila skripnya mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan.

“Proses penggambaran filem ini hanya mengambil masa sekitar 10 hari pada tahun 2017 dan proses latihan bersama pelakon pula selama sebulan.

“Bagaimanapun, proses penghasilan skrip ini mengambil masa selama 10 tahun kerana kesukaran mengadaptasikan karya Oscar Wilde ini ke dalam bahasa Melayu,” ujarnya tentang pembikinan filem sulung arahannya itu.

(DARI kiri) Nadia Aqilah, Amerul, Sharifah Amani dan Adibah Noor antara yang pelakon yang menghidupkan jalan cerita Mencari Rahmat.

Kekuatan lakonan

Barisan pelakon dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang luas dalam pentas teater.

“Watak-watak dan lakonan dalam filem ini menuntut mereka mempunyai pengalaman teater kerana dialognya yang panjang dan cara ‘blocking’ filem ini diambil.

“Jadi, agak sukar untuk membariskan pelakon-pelakon yang tiada pengalaman teater untuk membintangi filem ini,” jelasnya.

Menariknya juga, Mencari Rahmat bukan menampilkan hero kekar atau heroin jelita, sebaliknya menampilkan dua aktor hebat tanah air selaku tunjang utama iaitu Nam Ron dan Amerul Affendi.

Nam Ron berkata, dia tertarik untuk terlibat dalam pembikinan filem berkenaan kerana kelainan terhadap watak yang dibawakan serta jalan ceritanya yang menarik.

Menurutnya, untuk filem berkenaan sepenuhnya bergantung kepada lakonan dalam ‘menghidupkan’ watak yang dibawakan.

NAM RON (kanan) menyifatkan kekuatan lakonan setiap aktor menjadi tunjang utama naratif dalam Mencari Rahmat.

“Kelainan watak saya kali ini kerana filem bergerak daripada persembahan, makannya berteraskan kepada ‘performance base’.

“Dalam filem ini, pelakon memainkan peranan sangat penting untuk menyampaikan jalan cerita kepada penonton,” jelasnya.

Mengenai kerjasama dengan Al Jafree pula, dia melihat pengarah itu sangat mementingkan lakonan yang mantap daripada para pelakon supaya setiap watak dapat memberikan impak kepada penonton.

Selain Nam Ron dan Amerul, turut membintangi filem berkenaan antaranya seperti Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.

Filem Mencari Rahmat akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 Jun 2021.

AL JAFREE mengambil masa 10 tahun untuk mengadaptasi drama pentas The Importance of Being Earnest menjadi sebuah naskhkah filem berjudul Mencari Rahmat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI