fbpx

Masjid tercantik di dunia akan dibina di Pulau Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Besar diranjang untuk dijadikan sebagai Pusat Tamadun Islam dengan membina sebuah masjid terapung tercantik di dunia dalam masa terdekat dengan kos pembinaan sebanyak RM14 juta.

MELAKA – Sebuah masjid terapung ikonik yang dijangka menjadi antara tercantik di dunia akan dibina di pulau keramat, Pulau Besar dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM14 juta, tidak lama lagi.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat, pembinaan masjid tersebut merupakan salah satu agenda utama dalam menjadikan pulau tersebut sebagai Pusat Tamadun Islam.

Katanya, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas kerja sebelum pembinaan masjid tersebut diusulkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan.

“Kita merancang untuk menjadikan Pulau Besar sebagai Pusat Tamadun Islam dengan membina sebuah masjid terapung tercantik di dunia dalam masa terdekat dengan kos pembinaan sebanyak RM14 juta.

“Bagi menjadikan masjid itu lebih bermakna, orang ramai akan diberikan peluang untuk bersama-sama membuat ‘saham akhirat’ dengan sumbangan dana pembinaan melalui Saham Wakaf Masjid Pulau Besar,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ujarnya, meskipun proses pembinaan itu akan memakan masa, namun perancangan tersebut akan tetap direalisasikan.

Tambahnya, selain masjid terapung itu, antara perancangan lain yang akan melengkapkan agenda tersebut adalah pembinaan sekolah tahfiz di bahagian selatan Pulau Besar, Quran Village dan Muzium Islam.

“Mengikut perancangan, madrasah itu nanti boleh menempatkan 500 golongan cerdik pandai dalam bidang agama.

“Quran Village dan Muzium Islam pula akan dibina sebagai bukti agama Islam bermula di Melaka,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali juga juga mengutamakan cadangan untuk menjadikan kawasan Pulau Besar sebagai kawasan patuh syariah.

“Ketua Menteri mencadangkan agar semua pengunjung yang ingin melawati kawasan itu perlu memakai pakaian menutup aurat, meskipun datang untuk bergambar,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan aktiviti kurafat yang sering dikaitkan dengan pulau tersebut, beliau memberitahu perkara itu kini tinggal sejarah dan tidak lagi berlaku dengan pemantauan ketat oleh Majlis Agama Islam Melaka.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI