MADRID – Bintang Real Madrid, Eden Hazard kembali menemui sentuhan terbaiknya pada waktu tepat buat gergasi Sepanyol itu menjelang separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok.
Hazard, 30, diturunkan dalam kesebelasan utama Los Blancos buat kali pertama sejak tiga bulan dan bermain selama 71 minit permainan ketika menang 2-0 ke atas Osasuna pada aksi La Liga, Sabtu lalu.
Ia memberi petanda pemain sayap sensasi Belgium itu seakan-akan sudah kembali mencapai tahap kecergasan terbaik sekali gus mampu menjadi ‘duri dalam daging’ buat Chelsea yang pernah diwakilinya dari 2012 hingga 2019.
Walaupun dihimpit pelbagai siri kecederaan bersama Real, namun semua pemain The Blues termasuk pengurusnya, Thomas Tuchel sedar Hazard mampu menjadi pemusnah jika tidak ‘dirantai’ sepanjang perlawanan.
“Dia seorang pemain berkualiti yang berkelas dunia. Dia telah membuktikannya bertahun-tahun bersama Chelsea dalam saingan ini (Liga Perdana Inggeris) yang merupakan liga paling sukar di dunia.
“Saya sangat menghormati Hazard dan amat berharap sekiranya dia tidak bermain menentang kami. Apakan daya, dia sudah cergas dan kembali bermain untuk Real dalam perlawanan terakhir mereka.
“Saya percaya dia mahu bermain untuk membuktikan sesuatu kepada semua,” kata Tuchel yang mempunyai kelebihan gol tempat lawan selepas pasukannya seri 1-1 dengan Real pada separuh akhir pertama di Madrid minggu lalu.
Sebagai rekod, Hazard merupakan aset paling bernilai Chelsea dengan 110 gol daripada 352 penampilan sebelum dijual kepada Real menerusi yuran perpindahan tinggi bernilai €100 juta (RM495 juta) pada Jun 2019. – AGENSI














