PASTINYA kehamilan anak sulung menjadi sebuah hadiah terindah buat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Pada masa sama, dikurniakan zuriat pada awal fasa perkahwinan juga merupakan satu rezeki terbesar yang sering didamba semua orang.
Situasi tersebut kini sedang dilalui pasangan sejoli popular, Ayda Jebat dan suaminya Nabil Mahir apabila mereka bakal bergelar ibu bapa tidak lama lagi.
Ayda mendedahkan, dia kini sedang berbadan dua dengan usia kandungan empat bulan. Penyanyi itu dijangka menyambut kelahiran bayi sulungnya pada Oktober depan.
Pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat itu mengumumkan berita kehamilannya pada sebuah majlis berbuka puasa yang dianjurkan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini.
Membuka cerita tentang pengalaman pertama kehamilannya, pelantun lagu Parah Parah itu berkata, dia mengalami alahan sejak awal mengetahui dirinya berbadan dua.

Tekanan, hampir gugur
Tetapi pengalaman tersebut sebenarnya meninggalkan lebih memori kepada suaminya apabila terpaksa ‘melayan’ keadaan dirinya yang tidak tentu arah akibat alahan.
“Ayda sejak mula hamil lagi memang sepanjang hari mengalami alahan. Paling tidak boleh lupa, dia jadi malas sejak mengandung. Sebelum kahwin, saya tertarik dengan kerajinan dan komitednya terhadap kerja.
“Selepas hamil, masya-Allah tahap malas dia (ketawa). Tetapi saya faham, dah memang begitu kalau orang alahan mengandung kan. Kalau bercerita bab alahan pula, paling teruk dia pernah muntah tiba-tiba di atas katil. Semua itu perkara normal yang saya lalui,” dedah Nabil.
Di sebalik kegembiraan dengan rezeki kurniaan Tuhan, bahagia milik pasangan itu dicemari dengan kontroversi pendedahan berita kehamilan yang disiarkan tanpa keizinan mereka.
Akibat tekanan kerja selepas pendedahan tersebut berlaku sekitar Februari lalu, Ayda berkata, dia hampir keguguran selepas mengalami pendarahan.
“Saya bekerja dengan banyak jenama. Jadi saya memerlukan sedikit masa untuk susun semula jadual kerja selepas sah hamil. Berikutan komitmen kerja yang padat dan dilakukan pada masa cukup singkat, saya terlampau penat.
“Impaknya, saya mengalami pendarahan kerana usia kandungan yang masih baru. Saya dimasukkan ke wad kecemasan dan hampir kehilangan bayi yang dikandung,” ceritanya.
Tambah Nabil, dia sejujurnya mengakui kecewa dan sedih kerana berita gembira seperti itu sepatutnya datang daripada mulut mereka sendiri, bukannya orang lain.
“Ketika mendapat tahu tentang laporan tersebut, saya berasa marah dan sedih. Sebab saya dah buat yang terbaik untuk bahagiakan isteri,” luahnya.

Goyang kaki, suami masak
Kembali berbicara soal pengalaman merasai kehamilan buat pertama kali, Ayda berkata, banyak perkara dan kejadian kelakar yang dilaluinya bersama suami.
Secara berseloroh penyanyi lagu Better Than You itu berkata, dia ditatang bagai permaisuri sepanjang awal kehamilan kerana semua kerja banyak dilakukan si suami tercinta.
“Pengalaman pertama kali mengandung, saya dan suami tidak banyak bertanya kepada orang tentang tips dan sebagainya. Sebab kami mahu menikmati momen ini dan tahu dengan sendiri.
“Dari segi kerja pula, semua suami yang buat. Kadang-kadang pernah dia bangun awal pagi jaga saya. Buat pertama kali juga dia memasak dan saya hanya goyang kaki di rumah,” ujarnya sambil ketawa.
Seperti perkara ‘wajib’ bagi wanita mengandung, pasti kisah alahan dan mengidam sering ditanya orang. Tidak terlepas daripada alahan dan mengidam, Ayda juga ada kisah tersendiri.
Katanya, dia tidak boleh tahan bau dapur di rumah keluarga Nabil dan cecair pembasmi kuman.
“Kalau bab mengidam, tidak banyak. Cuma pernah sekali Ayda teringin sangat nak makan cempedak goreng. Tapi waktu itu bukan musim cempedak berbuah, jadi sangat susah mencarinya.
“Bila sempadan negeri dibuka beberapa bulan lalu, kami pulang ke Melaka. Agak puas juga mata melilau di tepi-tepi jalan mencari orang menjual cempedak. Mujurlah jumpa tetapi alih-alih dia makan seulas sahaja,” kata Nabil mengimbau gelagat isteri.

Jantina, sambutan raya
Sama seperti orang lain, pasangan serasi itu memilih untuk merahsiakan terlebih dahulu jantina bayi mereka sebelum menghebahkan kepada umum apabila sudah bersedia kelak.
Pada masa sama, kedatangan Syawal tahun ini memberi lebih erti dengan kehadiran anugerah dalam kandungan.
Bagaimanapun, peka dengan situasi semasa kes harian Covid-19 yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini membuatkan pasangan itu sepakat meraikan lebaran dengan seadanya.
“Kami tidak buat apa-apa persiapan sangat memandangkan kes Covid-19 agak membimbangkan ketika ini.
“Jadi kami mahu nikmati momen beraya dengan keluarga sahaja, itu sudah cukup,” kata Ayda ringkas.
Ditanya soal perjalanan karier sepanjang berbadan dua sehingga melahirkan kelak, penyanyi berusia 29 tahun itu masih aktif bekerja.
Tinggal lagi, kariernya tidaklah serancak dahulu dan diperlahankan sedikit demi kandungan.
“Pengurusan ada bagi ruang untuk saya berehat. Dahulu, boleh kerja dari pagi sampai malam. Jadi dengan keadaan sekarang, saya perlahankan sedikit kerja.
“Lebih-lebih lagi kalau kerja melibatkan pergerakan seperti persembahan tarian. Kalau saya cakap dah tak larat dan nak minta berehat, nanti saya beritahu kepada pengurusan,” katanya.














