fbpx

Melaka mungkin kembali PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahmad

MELAKA – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka akan dikuatkuasakan semula di negeri ini susulan ketiga-tiga daerah kini berada dalam status zon merah melebihi 40 kes positif Covid-19 sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri kini hanya menunggu keputusan penilaian dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, kes positif merekodkan peningkatan sejak dua minggu lalu dengan kebanyakan tular disebabkan aktiviti keluar dan masuk negeri sama ada bagi tujuan kerja, pendidikan atau urusan kecemasan.

“Kebanyakan kes berpunca kekerapan perjalanan keluar dan masuk negeri oleh Individu-individu terbabit serta kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan orang sekeliling mereka termasuk keluarga, rakan kerja dan komuniti dijangkiti Covid-19.

“Kesemua daerah di Melaka kini juga telah kembali ke zon merah dan tidak mustahil kita akan kembali ke PKPB disebabkan kenaikan kes, namun semuanya bergantung kepada penilaian MKN,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berharap negeri ini tidak dikenakan PKP yang akan mengehadkan pergerakan termasuk merentas daerah.

“Kita terpaksa akur sekiranya dikenakan PKPB, namun saya berharap Melaka tidak akan dikenakan PKP semula kerana negeri ini terlalu kecil dan kalau tidak boleh merentas daerah memang masalah juga.

“Apa-apa pun kita tunggu perkembangan yang akan diumumkan oleh kerajaan pusat pada petang ini sekiranya Melaka dikenakan peringkat PKBP,” katanya.

Tambahnya, jumlah kes positif Covid-19 dijangka akan terus meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri berikutan Jabatan Kesihatan Negeri sedang giat melakukan ujian saringan terhadap individu yang dikesan menjadi kontak rapat kluster baharu.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan jumlah katil untuk menempatkan pesakit Covid-19 di negeri ini bagaimanapun masih mencukupi dengan lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 117 katil masih kosong.

Terdahulu, semalam Melaka mencatatkan sebanyak 61 kes positif dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Emas di Melaka Tengah.

Kes indeks bagi kluster tersebut merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki positif selepas kerap ke kawasan zon merah (Kuala Lumpur) selain menetap di zon tersebut atas urusan kerja.

Jangkitan itu seterusnya merebak dalam kalangan keluarga dan kontak terdekat yang lain dengan setakat ini 10 individu telah dikesan positif Covid-19.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI