fbpx

Stok mercun raya lebih RM27,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian mercun yang dirampas PGA dalam dua serbuan di Pasir Mas dan Rantau Panjang semalam. - Foto : Ihsan PGA

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas pelbagai jenis mercun yang diseludup dari negara jiran bernilai lebih RM27,000 di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan pertama dilakukan di sebuah stesen minyak di Pasir Mas pada pukul 5.57 petang.

Katanya, anggota PGA melihat sebuah MPV jenis Honda Stream dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu.

“Kita telah menahan pemandu kenderaan itu yang berusia 34 tahun sebelum menjumpai pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM8,622 di dalam MPV dipandunya.

“Selain mercun, kita turut merampas MPV yang dipandu suspek untuk menjalankan kegiatan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhari, kira-kira 30 minit kemudian, PGA turut merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM18,600 di dalam sebuah kereta jenis Inokom Matrix di Kampung Lanchang di sini.

Katanya, rampasan dilakukan selepas anggota PGA melakukan pemeriksaan terhadap kereta berkenaan yang diletakkan di kawasan itu.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI