fbpx

Siasat Menteri Dalam Negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fakhrulrazi (tengah) ditemui selepas membuat laporan polis bagi menggesa menyiasat Hamzah yang didakwa telah mencemarkan institusi badan beruniform itu di IPD Shah Alam malam tadi.

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan pengakuannya dalam campur tangan pelantikan pegawai kanan institusi itu baru-baru ini.

Gesaan itu dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar menerusi laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam malam tadi.

Mohd. Fakhrulrazi berkata, rakaman suara yang tular itu secara jelas telah mendedahkan bahawa terdapat usaha terancang dilakukan oleh menteri berkenaan untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai PDRM.

“Pada pukul 3 petang tadi (semalam) semasa berada di pejabat, saya merujuk kenyataan Hamzah yang mengesahkan rakaman suara yang tular di media sosial berkaitannya adalah benar dalam laporan di portal sebuah berita dan media sosial.

“Rakaman suara tersebut antara lain secara jelas telah mendedahkan terdapat usaha terancang oleh beliau untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai PDRM.

“Ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang dilakukan oleh seorang menteri yang disyaki dengan tujuan yang tidak baik, bias dan menjejaskan serta mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar di luar pekarangan IPD Shah Alam malam tadi.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Hamzah pada sidang akhbarnya mengaku bahawa rakaman suara bocor yang membincangkan pelantikan pegawai kanan polis sebagai benar.

Bagaimanapun, Hamzah menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrulrazi yang merupakan ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberitahu, pihaknya juga mendapat laporan pertukaran Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador berlaku dalam masa terdekat sedangkan peruntukan dalam Seksyen 15 Akta Polis 1967 menyatakan, ketika darurat, pertukaran KPN dan pegawai polis adalah tidak dibenarkan.

“Saya membuat laporan ini bagi menggesa PDRM untuk melakukan siasatan perkara ini dan mengambil tindakan lanjut serta sewajarnya terhadap menteri tersebut di atas pengakuannya yang telah mencemarkan institusi PDRM.

“Ia secara jelas merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang serius terhadap urusan dalaman PDRM,” ujarnya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani semalam dilantik sebagai KPN baharu berkuat kuasa Selasa depan sehingga tarikh persaraan beliau Oktober ini.

Pelantikan Acryl Sani sebagai KPN ke-13 bagi menggantikan Abdul Hamid yang tamat kontraknya pada 4 Mei ini.

Penyerahan surat pelantikan itu diserahkan oleh Hamzah dalam majlis khas pagi semalam di Putrajaya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI