fbpx

Sindiket tipu pelaburan online diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin

PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan sebuah sindiket yang aktif melakukan penipuan pelaburan online menerusi satu serbuan di sekitar Lembah Klang kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, susulan serbuan itu, pihaknya telah berjaya menahan seramai 14 individu terdiri daripada 10 lelaki tempatan dan masing-masing dua lelaki serta wanita warga China berusia 19 hingga 27 tahun.

“Sindiket ini dikesan beroperasi sejak awal Februari lalu dan menggunakan sebuah rumah sebagai pusat panggilan bagi aktiviti pelaburan saham yang didaftarkan di bawah syarikat Chao Jin Dang yang berpangkalan di China.

“Ahli sindiket yang menguruskan ‘pusat panggilan’ mampu menerima gaji sebanyak RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan menyasarkan mangsa dari China,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan mangsa untuk melabur dalam pelaburan saham yang kononnya adalah pelaburan saham Dong Fang Xhai Fu yang merupakan skim benar-benar wujud di China.

“Mangsa yang percaya kemudiannya akan diberikan akses untuk melabur melalui laman web disediakan pihak sindiket namun setelah pelaburan dibuat, pelbagai alasan akan diberikan bagi mengelak pembayaran keuntungan sehingga akhirnya mangsa tidak dapat menghubungi pihak sindiket.

“Walaupun kegiatan sindiket ini tidak melibatkan rakyat negara ini, orang ramai tetap diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan secara online yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu berusaha dan bersusah payah,” ujarnya.

Tambah Zainuddin, kesemua suspek yang ditahan telah direman sehari sehingga semalam manakala tangkapan bukan warganegara direman di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 120(b) KK.

“Siasatan juga turut dilakukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001) dam Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963,” jelas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI