fbpx
KUMPULAN The Cranial dianggotai tiga pemuda iaitu (dari kiri) Haziq, Aiman dan Farez.

Hala tuju muzik, karier The Cranial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN masih ramai lagi yang tidak menyedari kewujudan sebuah kumpulan penyanyi yang dianggotai tiga orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai The Cranial.

Mungkin usia yang masih hijau dalam industri hiburan tanah air menjadi penyebab utama mereka belum cukup mesra di telinga pendengar muzik tempatan.

Bagi yang mengikuti perjalanan karier nyanyian The Cranial yang dianggotai oleh Aiman Sabri (gitar/vokalis), Farez Amirul (gitar/vokalis) dan Haziq Fitrie (bass/vokal), pasti tahu bahawa tiga anak muda itu memulakan karier nyanyian dengan aktiviti membuat video-video saduran dalam YouTube.

Kumpulan itu ditubuhkan selepas ketiga-tiga anggotanya menamatkan persekolahan di peringkat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mula aktif membuka saluran YouTube masing-masing.

“Selepas SPM, kami ambil keputusan buka saluran YouTube sendiri sejak lima tahun lalu. Dimulai oleh saya dan Farez sebelum diikuti Haziq,” ujar Aiman membuka bicara.

THE Cranial terdiri daripada tiga orang anak muda iaitu Haziq (kiri) dan Aiman (tengah) yang merupakan adik-beradik, sementara Farez pula adalah sahabat mereka sejak kecil.

Selepas lima tahun dikenali dalam saluran YouTube, The Cranial akhirnya bersedia mencari tapak dalam industri dengan menampilkan single sulung berjudul berjudul Pendam pada 26 Mac lalu.

Lagu berkenaan mendapat sentuhan daripada komposer dan penulis lirik Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.

Menerusi introduksi lagu perdana mereka, ketiga-tiga anak muda berusia 23 tahun itu yakin bahawa Pendam akan mendapat tempat di hati pendengar muzik tempatan.

“Walau apa pun, perjalanan kami untuk menjadi sebahagian daripada artis tempatan memerlukan sokongan daripada pendengar juga.

“Muncul pada saat negara dilanda pandemik Covid-19 bukanlah idea terbaik, namun kami tekad kerana percaya pada rezeki dan usaha untuk menjadi sebahagian penyeri industri muzik,” ujar Haziq.

AKAUN YouTube The Cranial kini mempunyai lebih 46,000 pelanggan.

Dalam usaha untuk menempa nama sebaris dengan kumpulan muzik tempatan sedia ada, The Cranial mengakui mereka terpaksa bersaing dengan lambakan band lain.

“Jujur, persaingan memang sukar. Jadi kami perlu menampilkan kelainan dalam muzik yang dibawa.

“Walaupun The Cranial bergerak dengan kekuatan tiga orang anggota sahaja, namun kami berusaha membuktikan keunikan dan kelainan tersendiri terutama dari segi muzik,” kata Farez.

Maka, untuk menarik minat dan perhatian pendengar muzik tempatan, The Cranial memegang konsep dengan tidak hanya tertumpu pada sesebuah genre semata-mata.

Rujukan

Bermula dengan suntikan elemen balada, The Cranial cuba keluar daripada kepompong dengan mencuba pelbagai genre muzik lain seperti pop rock dan hip hop.

“Kami ingin mencabar diri untuk ‘lari’ daripada genre muzik berlainan dan tampil dengan single Pendam yang bernuansa pop rock,” ujar mereka yang kini bernaung bawah label Sirius Music.

LAGU saduran Despacito nyanyian Luis Fonsi, D.Yankee ft. Justin Bieber merupakan video The Cranial yang paling mendapat tontonan tertinggi iaitu sebanyak 794,362 kali

The Cranial menjadikan beberapa kumpulan muzik tempatan seperti Akim & The Majistret, Floor 88 dan Insomniacks sebagai ‘guru’ untuk mendapatkan idea dalam berkarya.

“Selain itu, muzik kami turut dipengaruhi muzik dan artis luar negara seperti Green Day dan 5 Seconds of Summer,” tambah Farez.

Untuk perancangan masa depan, The Cranial akan meluncurkan tiga buah single baharu yang masih lagi dalam proses penghasilan.

“Apa yang saya dan rakan-rakan harapkan agar lebih ramai pendengar dapat menikmati muzik kami dan terbuka menerima pembaharuan yang The Cranial perjuangkan,” kata Aiman menambah bicara.

Video muzik dan lirik lagu Pendam sudah boleh ditonton menerusi saluran Youtube Sirius Music. Lagu tersebut juga tersedia dalam pelantar muzik digital seperti Spotify.