fbpx

Nafsu berhari raya tetap membara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bazar Aidilfitiri di Jalan TAR menjadi tumpuan setiap tahun.

HARI ini Khamis, 17 Ramadan. Bermakna telah lebih separuh bulan kita semua menjalani ibadah puasa dan apa yang pasti pada kebiasaannya ramai mula sibuk dengan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tidak hairan apabila dalam satu kumpulan WhasApp kejiranan terpancul soalan daripada seorang jiran, mengapa tidak ada lagi borang online untuk pendaftaran solat tarawih di masjid.

Maka jawab wakil pentadbir kumpulan itu, borang tidak dikeluarkan lagi kerana kehadiran sekarang di bawah jumlah 150 orang.

Kalau di awal Ramadan, ramai yang marah-marah apabila gagal tersenarai sebagai jemaah tarawih berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan jumlah jemaah tarawih, namun sekarang masjid pun semakin lengang.

Sebaliknya pula di kawasan Bazar Aidilfitri seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), jumlah ‘jemaah’ yang hadir penulis difahamkan semakin hari semakin bertambah. Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah untuk persiapan menyambut Syawal.

Almaklum, pada tahun lepas oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan tidak membenarkan bazar-bazar Aidilfitri beroperasi, jadi pada tahun ini agaknya mereka mahu membalas dendam.

Malah ada yang berkata, seolah-olah tidak lengkap jika tidak ke Jalan TAR untuk menyambut raya. Jadinya tahun ini peluang yang ada tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Soal risiko jangkitan Covid-19, itu nombor dua. Kalau tahun lalu jumlah jangkitan pada Ramadan sekitar 40 hingga 80 kes, namun dalam minggu ini jumlah positif masih berlegar di sekitar 2,600 kes.

Sepatutnya, dengan jumlah yang banyak berkali ganda itu kita lebih resah, bimbang dan mengambil langkah lebih berjaga-jaga dengan wabak koronavirus, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Mungkin yang dikatakan istilah ‘keletihan pandemik’ telah menyelubungi rakyat kita. Keletihan pandemik atau pandemic fatigue ialah satu keadaan seseorang letih akan ketidakpastian bila berakhirnya pandemik sehingga mula tidak mematuhi protokol kesihatan untuk pencegahan penyebaran koronavirus.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Oktober tahun lalu, pernah memberi amaran kepada negara Eropah mengenai keletihan pandemik yang boleh mengancam keupayaan benua itu menangani penularan Covid-19.

Hari ini, lihat sahaja apa yang telah berlaku di India. Pada Isnin lalu mencatatkan 330,744 kes harian iaitu hampir menyampai kes bagi satu tahun Malaysia (398,451 kes sehingga 27 April).

India pada 1 Februari lalu telah mencatat penurunan kes harian kepada 8,587 kes sahaja dan bayangkan apa yang berlaku hari ini di negara tersebut yang dilaporkan semakin kritikal apabila bekalan oksigen untuk pesakit di hospital pun tidak mencukupi sekali gus menyebabkan negara-negara dunia terpaksa tampil membantu.

Oleh itu, sempena bulan Ramadan penuh berkat ini, kita semua insafi diri dan membalas dendam dengan merebut peluang mengejar malam lailatulqadar bukan melampiaskan nafsu berhari raya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI