SEPANJANG bulan Ramadan yang mulia ini, masa terluang lelaki berusia 45 tahun itu banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran.
Tujuan Amir Hamzah adalah untuk mengkhatamkan kitab suci umat Islam yang diturunkan kepada Rasulullah SAW itu pada bulan mulia ini.
Memandangkan agak lama tidak membacanya, lelaki berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu sudah lupa pengetahuan asas tajwid dalam pembacaan al-Quran.
Situasi ini mengundang rasa tidak sedap hati lelaki itu yang bimbang sebutannya salah sehingga mengundang murka Allah SWT.
Sehinggalah baru-baru ini dia menemukan sebuah al-Quran Al-Mujawwad yang didapati dari sebuah kedai buku. Amir terpegun melihat al-Quran tersebut yang diterbitkan oleh penerbit buku agama tersohor tanah air, Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru).
“Terlalu banyak naskhah al-Quran di pasaran ketika ini, namun naskhah ini ternyata lebih lengkap dan terperinci terutamanya dalam aspek penerangan tajwid.
Setiap helaian dalam al-Quran ini dilengkapi penerangan lengkap hukum tajwid dan cara bacaan seperti mad badal, idgham, mad jaiz munfasil dan lain-lain di bahagian tepi helaian.
“Penerangan ini dapat membantu saya menyebut setiap ayat dengan lebih tepat sama ada secara dengung atau panjang harakatnya,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Al-Mujawwad merupakan salah sebuah daripada empat al-Quran yang diinovasikan pihak Telaga Biru dalam usaha memudahkan umat Islam di negara ini membacanya.
Ternyata Telaga Biru menerusi Unit al-Quran syarikat penerbitan tersebut begitu gigih bagi memastikan kitab suci itu dapat diinovasikan bersesuaian dengan kepelbagaian keperluan masyarakat di Malaysia.
Empat al-Quran yang dimaksudkan ialah Al-Mujawwad (bertajwid) yang dapat membantu golongan kurang mahir tajwid; Mushaf Qiyam (berdiri) untuk memudahkan imam membacanya; al-Quran Al-Kamil (lengkap) yang memiliki terjemahan dan al-Quran Al-Taisir (bererti memudahkan) yang mempunyai ceraian-ceraian juzuk.
Tambah menarik koleksi al-Quran ini turut diinovasikan bersesuaian dengan nafas pendek orang Melayu atau masyarakat Malaysia dengan menandakan tempat boleh berhenti atau waqaf selari makna ayat tersebut.
Ketua Unit al-Quran Telaga Biru, Ustaz Fuad Ismail, 45, berkata, Al-Mujawwad mengeluarkan hukum-hukum tajwid pada ayat al-Quran dan menyenaraikannya meliputi lebih 130 hukum tajwid pembacaan al-Quran.
Katanya, naskhah berkenaan turut dilengkapi penerangan tanda-tanda bacaan dalam Rasmi Uthmani dan tulisan khat baharu (Madinah) yang lebih jelas.
“Umat Islam sentiasa disarankan supaya membaca al-Quran secara tartil iaitu memahami setiap hukum tajwid. Hukum mengetahui ilmu ini ialah fardu ain bagi individu yang ingin membacanya.
“Dengan adanya naskhah ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan pengetahuan pembaca kerana setiap halamannya mengandungi penerangan tajwid lengkap,” jelasnya.
Terangnya, al-Quran Al-Kamil mengandungi terjemahan terkini dalam bahasa Melayu. Menariknya, naskhah tersebut turut dilengkapi hadis sahih, doa-doa pilihan dan asbabun nuzul (penerangan sebab penurunan ayat).
“Al-Kamil ini diterjemahkan oleh beberapa pakar tempatan yang diketuai pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Muhammad Fauzi Yusuf bersama rakan-rakan.
“Kami juga telah melakukan proses semakan dengan panel khas yang dilantik bagi memastikan setiap ayat diterjemah tanpa maksudnya salah,” tegasnya.
Jelas Fuad, Mushaf Qiyam yang lebih besar khusus untuk pembacaan imam di masjid atau surau.
Menyentuh mengenai aspek menghentikan bacaan yang terdapat pada naskhah-naskhah tersebut, jelasnya, ini berasaskan panduan waqaf dan ibtida’ yang dituntut dalam kesempurnaan membaca al-Quran.

Naskhah-naskhah ini diinovasikan dengan bahagian tertentu pada ayat ditandakan tiga warna iaitu merah, hijau dan biru.
Bagi ayat yang berwarna merah, pembaca boleh memberhentikan bacaan di akhir ayat merah itu dan memulakan kembali bacaan di bahagian awal ayat tersebut.
Bagi ayat hijau pula biasanya terletak di hujung ayat berwarna merah. Pembaca boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna hijau dan memulakan bacaan pada permulaan ayat berwarna hijau.
Ayat biru membolehkan pembaca berhenti di akhir perkataan berwarna tersebut dan meneruskan bacaan dengan membaca ayat selepasnya.
“Kaedah bacaan ini sangat penting bagi memastikan pembaca berhenti dan sambung kembali bacaan pada tempat betul supaya tidak terjejas maknanya.
“Hal ini kerana rata-rata masyarakat Melayu boleh membaca dengan baik, namun nafasnya tidak panjang serta tidak memahami bahasa Arab di dalam al-Quran.
“Imam Abu Hatim Al-Sijastani menjelaskan, seseorang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui waqaf dan ibtida’, dia belum menguasai bacaan sebaiknya”,” ujarnya.
Jelasnya, kaedah waqaf dan ibtida’ dipelopori bekas hakim Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari bersama anaknya, Prof. Madya, Abd. Rauf.
Sebahagian naskhah tersebut turut dilengkapi kaedah Al-Mizan dan Az-Zikr yang diusahakan Fuad dan unitnya. Al-Mizan adalah kaedah yang dibangunkan bagi memudahkan pembaca mengakhiri bacaan pada akhir topik, manakala Az-Zikr pula penerangan bacaan hamzah wasal di permulaan atau di pertengahan ayat.
“Kaedah Al-Mizan ini penting kerana kita tidak mahu pembaca mengakhiri pembacaan mereka pada pertengahan satu-satu kisah yang diceritakan sehingga membuatkan kisah itu tergantung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Telaga Biru, Datuk Dr. Zahazan Mohamed berkata, pihaknya sudah terlibat dalam penerbitan al-Quran sejak tahun 2011 dan pelbagai inovasi telah dilakukan.
Katanya, pihaknya telah menerbitkan lebih 50 jenis al-Quran hasil inovasi dilakukan sendiri Unit al-Quran Telaga Biru atau bersama pakar-pakar dari dalam negara.
Beliau berkata, proses mengeluarkan sesebuah al-Quran memerlukan gerak kerja teliti selain perlu menunggu tempoh lama untuk mendapatkan kelulusan pihak Keselamatan Dalam Negeri (KDN).
“Bagi mengeluarkan sebuah al-Quran inovasi seperti keempat-empat ini memakan
masa hampir dua tahun. Pertama, halamannya tebal iaitu 604 muka surat selain memerlukan penelitian rapi serta kelulusan KDN.
“Inovasi terhadap al-Quran perlu dilakukan dari semasa ke semasa seiring tuntutan masyarakat yang dahagakan pelbagai ilmu berkaitan,” katanya.














