fbpx

Perolehan Nestle tumbuh satu peratus kepada RM1.45 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai jenama utama Nestle telah menjadi salah satu keperluan bahan makanan utama buat sebahagian daripada isi rumah di negara ini.

PETALING JAYA – Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle Malaysia) mencatat prestasi baik bagi suku tahun pertama (S1) 2021 yang berakhir 31 Mac lalu, dengan pertumbuhan perolehan seba­nyak satu peratus kepada RM1.45 ­bi­lion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Penyumbang utama pertumbuhan ialah perniagaan F&B (makanan dan minuman) teras, yang merekodkan pertumbuhan lima peratus, dipacu oleh tahap penggunaan di rumah seterus­nya menggalakkan momentum kukuh bagi kebanyakan jenama.

Prestasi itu bagaimanapun dikekang oleh aktiviti di luar rumah yang masih terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesannya terhadap sektor hotel, restoran dan kate­ring.

Kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM220.4 juta, selepas perbelanjaan berkaitan Covid-19 diperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi memastikan keselamatan pekerja dan kesinambungan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, mengambil kira semua peristiwa yang berlaku, pencapaian S1 2021 mencerminkan keupayaan pasukannya untuk terus memacu pertumbuhan dan memperkukuhkan prestasi dalam suasana pandemik yang mencabar.

“Bagi jenama-jenama Nestle, kami telah melaksanakan aktiviti menarik yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia.

“Tumpuan terhadap ke­selamatan orang ramai dan ke­sinambungan bekalan akan dite­ruskan, lebih-lebih lagi de­ngan situasi pandemik yang masih belum reda,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Mengulas prospek Kumpulan pada tahun ini, Aranols me­nerangkan, pihaknya yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh sehingga akhir tahun bagi semua perniagaannya.

“Kami gembira melihat tanda-tanda pemulihan saluran aktiviti luar rumah dan yakin terhadap momentum berterusan jenama Nestle Malaysia sebagai pilihan utama keluarga di negara ini.

“Pembukaan kilang penyelesaian makanan berasaskan tumbuhan kami di Shah Alam baru-baru ini telah memenuhi matlamat untuk sentiasa mencari peluang jangka panjang, membuat pelaburan awal dan menjadi pihak pertama untuk memanfaatkan peluang daripada jangkaan serta permintaan pengguna yang kian berubah,” katanya.

Tambah Aranols, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM300 juta pada 2021, angka tertinggi sejak 2015 untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang serta naik taraf teknologi bagi meningkatkan produktiviti, selain memanfaatkan sistem automasi dan pendigitalan terkini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI