fbpx

PKPD di empat lokaliti di Sabah, satu di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PPR Bt. 8 Jalan Apas, Tawau, Sabah berkuat kuasa 28 April sehingga 11 Mei 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 103 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD itu juga untuk memudahkan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya untuk mengekang penularan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya ketika sidang khas di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian, Sibu, Sarawak berkuat kuasa 28 April sehingga 11 Mei 2021.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan sebanyak 103 kes positif telah direkodkan hasil daripada 201 ujian saringan dijalankan ke atas penghuni dan pelajar sekolah tersebut.

“KKM juga memaklumkan berlaku peningkatan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” jelasnya.

Katanya, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di FELDA Umas, Kalabakan, Sabah berkuat kuasa 28 April sehingga 11 Mei 2021 selepas KKM memaklumkan masih berlaku penularan kes di lokaliti itu dan terdapat 19 ujian saringan masih menunggu keputusan.

Dalam perkembangan lain pula Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung, Tawau, Sabah bermula 29 April sehingga 12 Mei 2021.

“Keputusan itu dibuat selepas KKM memaklumkan, masih terdapat banyak sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan serta penularan masih berlaku di lokaliti ini.

“Sehingga ini, KKM telah melaksanakan 847 ujian saringan, 23 daripadanya disahkan positif Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI