fbpx

PTPTN jalin kerjasama dengan UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Dasuki (kiri) dan Ahmad Fauzi Ismail (kanan) menunjukkan dokumen MoU PTPTN-UTM yang telah ditandatangani dan disaksikan oleh Noraini.

JOHOR BAHRU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menambah baik perkhidmatan untuk kebajikan pelajar.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, UTM menjadi universiti awam pertama memeterai MoU seumpama itu dengan skop kerjasama menyeluruh bakal memberi impak yang signifikan kepada institusi tersebut.

“MoU itu bertujuan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak menerusi pembudayaan simpanan pendidikan dan pembangunan modal insan kepada warga UTM.

“Antaranya ialah melalui pelbagai inisiatif seperti program pembangunan penjanaan Endowmen UTM, promosi produk tabungan dan manfaat melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam majlis MoU di UTM di sini itu, PTPTN diwakili Ahmad Dasuki, manakala UTM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Sementara itu, Ahmad Fauzi menyambut baik cadangan pihak PTPTN yang menawarkan skim perlindungan takaful komprehensif dan memberi manfaat kepada pelajar dan warga universiti.

“PTPTN telah membantu seramai 88,750 pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke UTM melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan.

“PTPTN kini membiayai seramai 5,874 pelajar UTM yang sedang aktif,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 16 pelajar cemerlang sesi 2020/2021 menerima Biasiswa Endowmen UTM yang diberikan kepada pelajar UTM dalam bentuk akaun SSPN.

Biasiswa berprestij itu telah memberi manfaat kepada seramai 355 pelajar UTM sejak ia dilancarkan pada tahun 2011. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI