fbpx

Kreativiti Norlaila jadi punca rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORLAILA menunjukkan parang yang ditempah pelanggan.

 

 

SENI kraftangan tradisional hampir ‘sepi’ ditelan zaman dan perkara itu diakui pengusaha kraftangan Pak Ali Parang, Norlaila Mohamed Nasa, 55, yang menjadikan perniagaan seni tangan sebagai punca rezeki bersama suaminya Mohd. Razali Thani, sejak 12 tahun lalu.

“Produk kraf tangan tradisional tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa sekiranya mempunyai landasan pemasaran dan penghasilan material bersesuaian dengan cita rasa semasa.

“Tidak mustahil seni kraftangan senjata dan peralatan tradisional juga mampu mencetus aliran global menerusi produk tempatan kerana keunikan identiti, kreatif dan asli,” katanya ketika di temui di bengkel Pak Ali Parang di Bukit Tabur, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Norlaila menjelaskan, minat mengusahakan perniagaan itu bermula pada tahun 2009 apabila mereka mula mendalami mempelajari seni logam dan diikuti dengan seni perkayuan.

Untuk membuat senjata tradisional, beliau perlu menggunakan besi khas bermutu tinggi yang ditempah khusus dengan memiliki ketahanan terutama bagi tujuan melapah dan menyembelih haiwan.

Selain itu, beliau dan suami turut mempelajari bidang perkayuan untuk mengenal pasti jenis kayu yang sesuai untuk dibuat sarung pada parang dan pisau.

“Antara kayu yang sering digunakan untuk membuat sarung ialah kayu kemuning emas, penawar hitam, rengas, serian batu, akasia dan sepetir,” ujarnya.

Norlaila menerangkan, proses untuk membuat sebilah parang atau pisau perlu menjalani beberapa proses terlebih dahulu.

“Ini bagi memastikan kedua-duanya benar-benar bermutu serta memuaskan hati pelanggan agar ia dapat memenuhi kehendak pelanggan yang menggemari parang dan pisau yang menampilkan ciri kemelayuan,” katanya.

Menurut beliau, majoriti tempahan yang diterima oleh Pak Ali Parang adalah untuk membuat parang dan pisau.

“Harga parang dan pisau yang dijualnya bermula RM45 dan ia boleh mencecah kepada harga ratusan ringgit bergantung pada kualiti kayu digunakan.

“Sementara itu, bagi koleksi pedang pula harganya boleh mencecah ribuan ringgit kerana selain seni logam, ukiran kayu yang lebih terperinci juga menjadi pendorong kepada harga yang tinggi,” katanya.

Koleksi seni besi yang dihasilkan oleh suaminya turut dibantu oleh seorang lagi pakar besi, Zainolizam Hairuddin yang sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak 16 tahun lalu.

“Sarung parang mengambil masa dua hingga tiga hari untuk diukir, tertakluk kepada rekaan, manakala setiap bilah parang besi dapat dihasilkan selama tiga jam.

“Namun, untuk senjata seperti pedang memerlukan masa lebih lama untuk disiapkan memandangkan penghasilannya memerlukan ketelitian dan kekemasan pada ukiran,” katanya.

Tambah beliau, keunikan koleksi senjata dan peralatan tradisional Pak Ali Senjata telah dipilih sebagai wakil Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor untuk pelbagai pameran sebelum ini.

Lebih menarik, beliau pernah membuat demonstrasi ketika pameran Hari Kraf Kebangsaan sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

“Koleksi kraf tangan Pak Ali Senjata pernah mencuri perhatian pelanggan ternama dari Jepun dan Rusia,” katanya.

Menyentuh tentang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Norlaila menjelaskan, agensi itu tidak asing baginya kerana perniagaan dikendalikan itu bergantung penuh kepada pinjaman dimiliki sejak 12 tahun lalu.

“Selain pinjaman untuk modal pusingan perniagaan, AIM juga banyak memberi sokongan moral kepada pengusaha seperti saya lebih-lebih lagi ketika ekonomi menurun sepanjang Covid-19.

“AIM juga sentiasa bersama Sahabat dan mengambil berat tentang kebajikan kami,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI