fbpx

Kerajaan negeri tunggu laporan dialog berhubung isu azan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawawi (dua kanan) melihat tanda harga merah jambu untuk pelaksanaan SHMMP sambil diperhatikan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah (paling kiri). - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kerajaan negeri masih menunggu laporan isu azan susulan aduan penduduk di Graham Garden, Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pada masa ini pihaknya telah meminta wakil rakyat kawasan berkenaan untuk mengadakan dialog bersama penduduk bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya, isu tersebut tidak seharusnya terjadi memandangkan terdapat Garis Panduan pada tahun 2017 yang membenarkan surau dan masjid melaungkan azan menggunakan pembesar suara di Selangor.

“Saya mendapat aduan ini menerusi media sosial. Kita hidup dalam keadaan masyarakat berbilang kaum dan seharusnya hal seperti ini dibincangkan oleh penduduk.

“Perkara ini seharusnya tidak dihebohkan sehingga boleh menyebabkan kekeliruan sehingga perbincangan dilakukan di luar konteks sebenarnya,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2021 di Aeon Mall, Seksyen 13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan akhbar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli yang mendedahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk Graham Garden, Eco Grandeur, Bandar
Puncak Alam yang mengatakan pihak surau tidak boleh azan menggunakan pembesar suara di kawasan itu.

Dakwa penduduk, sekiranya pihak surau mahu menggunakan pembesar suara, mereka perlu menunggu mesyuarat AGM bagi membincangkan kebenaran azan menggunakan pembesar suara.

Dalam mengulas SHMMP, Mohd. Zawawi menjelaskan sebanyak 156 premis termasuk tiga pasar borong telah diperiksa dan tiada tindakan kes mahupun kompaun dikeluarkan.

“Bagaimanapun, saya mengingatkan para peniaga di negeri itu agar mematuhi peraturan di bawah skim SHMMP ini bagi mengelak tindakan tegas dikenakan terhadap mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI