fbpx

Kaki ponteng puasa pandu lalu restoran nasi kandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA penguat kuasa JHEAIK memeriksa sebuah rak yang diletakkan minuman dan makanan di tepi sebuah restoran nasi kandar di Jalan Putra, Alor Setar, hari ini. - Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Sebuah restoran nasi kandar di Jalan Putra di sini dikesan menyediakan perkhidmatan ‘pandu lalu’ untuk kaki ponteng puasa pada bulan Ramadan ini.

Restoran itu meletakkan beberapa bungkusan teh o ais dan nasi berlauk ayam goreng di sebuah rak di tepi premis tersebut.

Taktik restoran itu bagaimanapun dikesan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) pada operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pintu hadapan restoran itu didapati ditutup, namun di dalam premis terdapat seorang pekerja memasak dan membungkus makanan untuk pelanggan yang tidak berpuasa.

Katanya, pemilik restoran itu didapati ingin mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual minuman dan makanan kepada kaki ponteng puasa.

“Pada serbuan hari ini, anggota penguat kuasa JHEAIK mendapati terdapat sebuah rak di tepi kedai yang diletakkan empat bungkus teh o ais dan beberapa bungkus nasi berlauk ayam.

“Makanan dan minuman itu diletakkan di atas rak itu untuk memudahkan pelanggan yang tidak berpuasa mengambil makanan yang telah siap dibungkus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi Ramadan di sekitar bandar ini hari ini.

Seramai 15 anggota penguat kuasa JHEAIK dan lima anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar menyertai operasi berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI