fbpx
MOHD. KHAIRUDDIN (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ahmad Parveez (kiri) dengan Pengarah Urusan RZtech Resources, Rofizal Mat Rejab di ibu pejabat MPOB di Bangi.

Harga MSM diunjur kekal tinggi pada tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI – Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan kekal tinggi pada tahun ini, dengan anggaran purata RM3,500/tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, harga MSM juga tidak hanya stabil, tetapi telah mencapai paras tertinggi pada RM4,270/tan pada 9 April lalu, memecahkan rekod terdahulu RM4,247.50/tan yang dicatatkan pada 16 Mac 2021.

“Dengan perkembangan terkini pada Mac dan April, kami berharap dapat mencapai harga le­bih baik, namun unjuran RM3,500/tan yang dibuat beberapa pihak adalah satu paras yang cukup menggembirakan industri.

“Hari ini (semalam) pun harga MSM kekal tinggi, iaitu pada RM4,193/tan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pra-pelancaran Seminar dan Pame­ran Pemindahan Teknologi (TOT) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2021 di ibu pejabat MPOB di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Acara tahunan itu yang bakal diadakan pada 1 Julai depan bertujuan memperkenalkan inovasi oleh penyelidik MPOB dalam industri sawit, seterusnya memberi peluang kepada penggiat industri mahupun usahawan untuk mengkomersialkan teknologi MPOB.

Pada majlis berkenaan, MPOB turut menandatangani perjanjian pemindahan teknologi dengan empat buah syarikat tempatan bagi pengkomersialan formulasi baja, produk berasaskan oleoki­mia dan mekanisasi ladang.

Empat syarikat tersebut adalah FGV Fertiliser Sdn. Bhd., Palmyra Polyurethane Systems Sdn. Bhd., Fulle Technik Sdn. Bhd. dan RZtech Resources Sdn. Bhd. (RZtech Resources)

Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, penglibatan rakyat tempatan dalam sektor sawit masih pada tahap yang rendah dan pemain industri banyak bergantung kepada pekerja asing.

Ini kerana persepsi kerjaya dalam sektor berkenaan yang disifatkan sebagai kotor, sukar dan bahaya.

Bagaimanapun, jelas beliau, kerjaya dalam sektor kelapa sawit kini menjanjikan pulangan lumayan, dengan pekerjaan sebagai penuai buah sawit antara yang paling kritikal untuk membawa keluar hasil dari ladang.

“Penuai kelapa sawit memperoleh pendapatan lebih daripada RM3,000 sebulan termasuk elaun kerja lebih masa, selain disediakan persekitaran pekerjaan dan perumahan selesa,” katanya.