fbpx

KTMB catat penurunan 40 peratus di Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan penurunan penumpang kira-kira 40 peratus meliputi kawasan perkhidmatan di Lembah Klang pada musim pandemik.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, penggunaan komuter pada tahun lalu merekodkan 25,000 penumpang sehari berbanding 65,000 pada 2019 dengan trend itu dijangka tidak banyak berubah menjelang hujung tahun ini.

“Di kawasan utara turut berlaku penurunan ketara dengan secara purata kira-kira 6,000 penumpang direkodkan sehari berbanding 17,000 penumpang sehari sebelum penularan koronavirus.

“Kemungkinan besar untuk mencapai kembali jumlah 65,000 penumpang sehari agak sukar bergantung kepada situasi pandemik,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) bersama platform e-hailing MyCar di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau optimis akan berlaku sedikit peningkatan apabila orang ramai mula menggunakan perkhidmatan komuter untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja selaras dengan tindakan kerajaan membenarkan kehadiran 100 peratus pekerja sektor swasta di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula bulan ini.

Terdahulu beliau berkata, kolaborasi KTMB bersama MyCar diharapkan dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam pada harga berpatutan sekali gus memberikan keselesaan buat mereka.

“Kerjasama antara kedua belah pihak dijangka dapat memberi keuntungan dan peluang yang besar kepada liputan rangkaian KTMB di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, perkhidmatan MyCar secara tidak langsung akan melengkapkan pengalaman perjalanan penumpang sehingga tiba ke destinasi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MyCar, Shafiq Affendi berkata, menerusi MoU itu pihaknya menawarkan kod promosi eksklusif, KTMBEST bagi perjalanan pergi dan balik di 53 stesen KTMB termasuk pada musim perayaan yang boleh diakses melalui aplikasi MyCar 3.0.

“Antara tawaran menarik yang disediakan ialah pemberian diskaun minimum RM2 kepada semua penumpang KTMB selain kod tawaran promosi yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Program ini melibatkan 60,000 pemandu e-hailing yang berdaftar dengan MyCar dan mereka tetap akan menerima kadar bayaran tambang seperti biasa kerana potongan harga itu dibayar oleh pihak syarikat kami,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI