fbpx

Cubaan memalsukan borang rentas negeri untuk rakan gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki memalsukan borang rentas negeri bagi membolehkan rakannya, seorang wanita warga asing bergerak ke Pulau Pinang gagal apabila kedua-duanya diberkas polis malam tadi.

Lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam yang masing-masing berusia 38 dan 41 tahun itu diberkas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas mendapati borang yang dikemukakan wujud keraguan yang tidak munasabah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10 malam ketika lelaki tersebut cuba untuk membeli tiket bas ke Pulau Pinang di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan untuk wanita itu.

“Ketika berada di kaunter, kakitangan yang bertugas mendapati borang rentas negeri yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada lelaki itu agak meragukan.

“Ekoran itu, petugas berkenaan telah membawa kedua-duanya ke Pondok Polis TBS untuk siasatan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati borang rentas negeri tersebut pernah dikeluarkan sebelum ini, namun terdapat beberapa pindaan telah dibuat ke atas borang berkenaan.

Justeru itu, kedua-duanya telah ditahan dan dimasukkan ke lokap IPD Cheras untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22 (d) Akta 342.

Katanya, tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) telah dibenarkan selama satu hari ke atas lelaki tersebut, manakala bagi wanita itu pula dibenarkan selama empat hari bermula hari ini.

“Saya ingin memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan arahan semasa pihak berkuasa dalam sama-sama menangani penularan penyakit Covid-19 ketika ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI