fbpx
GAMBAR HIASAN

Cabaran, hala tuju seni budaya negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

PENULARAN pandemik Co­vid-19 yang membadai dunia termasuk Malaysia sejak setahun lalu benar-benar merubah 360 darjah landskap ekonomi dan sosial negara.

Bukan setakat itu, penularan wabak maut itu turut memaksa perintah berkurung dikuatkuasakan termasuk mengumumkan perintah darurat.

Natijahnya, semua kegiatan ekonomi terpaksa dihentikan dan diperlahankan dalam usaha membendung virus tersebut.

Bukan sahaja sektor pelancongan dan penerbangan yang paling terkesan, industri seni dan budaya juga turut terkena tempias sama.

Penutupan gedung-gedung seni dan budaya seperti muzium seni, galeri seni, pentas-pentas teater serta panggung wayang di seluruh dunia sedikit sebanyak meresahkan para seniman, sasterawan serta budayawan akan masa depan mereka.

Manakan tidak, ruang dan platform inilah menjadi pelantar atau jambatan periuk nasi yang menemukan karya mereka kepada khalayak secara terus.

Berpeluang bertemu sepasang mata bersama pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima dalam satu acara amal baru-baru ini, Erma menyifatkan sektor budaya dan seni umumnya melibatkan pementasan teater bagai nyawa di hujung tanduk.

“Sedih. Itu yang saya dapat simpulkan. Industri teater semakin jauh terkebelakang lebih-lebih lagi apabila pandemik me­landa negara.

“Boleh dikatakan industri teater negara semakin di ambang kelumpuhan dan perlu segera diselamatkan,” katanya.

Tambah Erma, dia merayu mana-mana pihak untuk segera tampil dan mengambil pendekatan menerusi apa sahaja pelan pemulihan dalam usaha menyelamatkan industi kreatif di negara ini.

Jelasnya, jika penggambaran bagi drama, telefilem dan filem dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, mengapa tidak kepada teater.

Senada dengan Erma ialah aktivis teater dan penggiat seni Makyung, Rosnan Rahman yang berpendapat sudah tiba masa­nya agensi dan pusat kebudayaan bertanggungjawab memikirkan strategi tertentu dalam usaha memberi nafas baharu kepada industri kreatif.

Jelas Rosnan, inisiatif seperti memperkasakan medium digital boleh digunakan sebagai satu cara untuk melestarikannya.

“Sebagai contoh, kini muzium-muzium utama seperti Louvre Museum di Paris, British dan Van Gogh Museum, Amsterdam menawarkan lawatan virtual yang mana penonton tidak perlu me­ninggalkan kerusi di rumah.

“Lawatan maya ini adalah si­mulasi lokasi sedia ada yang terdiri daripada urutan video atau imej pegun selain menggunakan kesan muzik, naratif dan teks khas,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Rosnan memberitahu, di luar negara mi­salnya penerbit-penerbit buku turut menawarkan buku dan hasil nukilan mereka secara percuma dalam talian dengan pembaca hanya perlu memuat turun buku tersebut dalam versi PDF.

Tidak dinafikan, golongan seperti seniman, sasterawan dan budayawan tidak terkecuali merasai keperitan dalam mengharungi cabaran ini dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Persoalannya, apa tindakan yang perlu dilakukan dan diambil golongan ini terhadap cabaran norma atau budaya baharu selepas Covid-19 nanti?

Bagaimana pula hala tuju dan masa depan seni, sastera serta budaya dalam mengharungi pendemik ini agar kesenian dan kebudayaan terus hidup sekali gus tidak berkubur tanpa nisan. -K! ONLINE

BERITA BERKAITAN