KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kenaikan harga diesel susulan konflik di Asia Barat baru-baru ini hanya memberi kesan kepada 15 peratus rakyat di negara ini.
Beliau berkata, sebanyak 85 peratus rakyat di negara ini tidak menggunakan diesel mengikut harga pasaran sebaliknya menerima subsidi bahan api tersebut.
“Kajian menunjukkan harga diesel pasaran yang tinggi itu memberi kesan kepada 15 peratus rakyat. 85 peratus lagi rakyat tidak menggunakan diesel harga pasaran, tetapi harga subsidi. Apa yang dihebahkan adalah yang 15 peratus itu.
“Bagaimanapun, kita setuju ada yang terkesan. Bagi pengangkutan terutama bas sekolah, lori-lori strategik dan nelayan dikecualikan (kerana menerima subsidi).
“Ada yang marah dengan mengatakan bahawa nelayan terkesan. Sebaliknya, mereka menggunakan harga diesel subsidi dan bukannya harga pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Anwar memberitahu, kerajaan sentiasa mengadakan rundingan dan perbincangan setiap hari untuk mencari jalan bagi meringan sekali gua meredakan beban rakyat. – KOSMO! ONLINE














