SEDANG memanas dengan filem Dhurandhar, aktor terkenal Bollywood, Ranveer Singh meledakkan momentum sensasi apabila dikenakan tindakan oleh badan industri filem, Federation of Western India Cine Employees (FWICE) susulan kontroversi pengundurannya daripada filem Don 3.
Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam industri hiburan di India mengenai hak artis dan kuasa badan industri filem.
Menurut laporan media di India, FWICE mengeluarkan arahan tidak akan bekerjasama dengan Ranveer selepas menerima aduan berhubung pengundurannya daripada projek filem mega,Don 3 terbitan Farhan Akhtar.
Badan tersebut mendakwa tindakan pelakon itu menyebabkan gangguan kepada proses produksi serta kerugian kewangan yang besar melibatkan periuk nasi ramai pekerja industri yang terjejas dek pengundurannya beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.
FWICE dilaporkan meminta ahli-ahlinya yang terdiri daripada pekerja produksi, juruteknik dan kru filem supaya tidak terlibat dalam projek yang membabitkan Ranveer sehingga isu tersebut diselesaikan.
Menurut penasihat utama FWICE, Ashoke Pandit, tindakan yang dikenakan terhadap Ranveer bukanlah satu larangan rasmi seperti yang dilaporkan sesetengah pihak. Sebaliknya, itu merupakan arahan tidak bekerjasama yang dikeluarkan kepada ahli-ahli gabungan organisasi tersebut.
“Ini bukan satu larangan. Kami bukan mahkamah dan tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan sesiapa,” katanya.
Ashoke turut mempertahankan tindakan badan tersebut dengan menegaskan bahawa setiap individu dalam industri perlu mematuhi komitmen profesional mereka.
“Tiada superstar (bintang besar) yang mengatasi peraturan industri. keputusan yang dibuat Ranveer pada saat akhir menjejaskan produksi dan boleh memberi kesan kepada mata pencarian ratusan pekerja filem,” jelasnya.
FWICE juga mendedahkan mereka beberapa kali cuba menghubungi Ranveer sebelum mengeluarkan arahan cadangan tidak bekerjasama tersebut.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian ramai tokoh industri. Ada yang menyokong tindakan FWICE atas alasan profesionalisme dan tanggungjawab kontrak, manakala sebahagian lagi berpendapat pertikaian sedemikian sepatutnya diselesaikan melalui saluran undang-undang dan bukannya melalui tekanan industri.
Pakar undang-undang turut menjelaskan bahawa FWICE tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang seseorang artis daripada bekerja dengan mana-mana pihak.
Jika tindakan tersebut menjejaskan kerjaya Ranveer secara tidak adil, dia berhak mencabar arahan berkenaan melalui proses perundangan.
Sementara itu, aktres kontroversi, Kangana Ranaut berpendapat tindakan itu dikenakan ke atas Ranveer kerana aktor itu akhirnya berjaya menjadi pelakon yang hebat dan terkenal selepas kejayaan menerusi filem Dhurandhar.
“Saya pernah digam berkali-kali. Apabila seseorang pelakon berjaya dalam kerjaya, mereka akan menghadapi halangan-halangan ini.
“Ranveer sepatutnya gembira kerana dia berjaya untuk dirinya. Apabila anda berjaya, pasti ada banyak halangan yang datang.
“Karier tidak selalunya berjalan lancar. Hal sama telah berlaku kepada saya berkali-kali, tetapi kerjaya saya berjalan lancar meskipun terdapat banyak halangan. Semuanya akan baik-baik saja akhirnya,” katanya dalam satu temu bual.
Setakat ini, Ranveer masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kontroversi tersebut.
Namun, kes ini dijangka terus menjadi perhatian kerana melibatkan salah seorang bintang terbesar Bollywood dan sebuah francais filem yang dinanti-nantikan peminat.
Kontroversi bermula apabila Ranveer dilaporkan menarik diri daripada Don 3 pada saat akhir. Ranveer dikatakan bertindak sembrono menarik diri selepas berlaku pertembungan idea dengan penerbit ditambah lagi faktor populariti luar biasa yang diraihnya menerusi Dhurandhar 1 dan 2.














