fbpx

Makan berpada-pada elak rasa mengantuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TIDAK kira sama ada selepas sahur mahupun berbuka, seseorang itu pasti akan mengalami rasa mengantuk.

Penulis sendiri mengakui kerap mengalami hal yang sama terutama selepas berbuka puasa.

Kalau boleh ‘ditongkat’ mata dengan batang mancis, mungkin penulis telah lama berbuat demikian.

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu mudah berasa mengantuk terutama selepas makan ketika di bulan puasa.

Secara umum, orang ramai berpendapat bahawa makan secara berlebihan merupakan punca utama yang menyebabkan seseorang itu akan berasa me­ngantuk selepas makan.

Menurut kajian yang dijalankan, kejadian seumpama itu boleh ditafsirkan sebagai perkara normal mahupun sebaliknya.

Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Samhan Awang memberitahu, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku.

Antaranya ialah disebabkan oleh tindak balas sistem pencernaan, jenis makanan yang diambil, tabiat tidur dan tahap kesihatan seseorang.

Ujar Samhan, sistem pencernaan memecahkan nutrien daripada makanan untuk mengubahnya menjadi glukosa yang kemudiannya menjadi tenaga.

Tubuh pula akan melepaskan beberapa jenis hormon seperti amylin, glucagon dan cholecystokinin yang meningkatkan paras gula dalam darah.

Pada masa sama, otak pula mengeluarkan serotonin yang menyebabkan rasa mengantuk.

Pakar pemakanan, Profesor Emeritus Dr. Aminah Abdullah berpendapat, faktor utama seseorang itu mudah berasa mengantuk selepas sahur atau berbuka adalah kerana makan berlebihan.

Apabila seseorang itu lapar, mereka akan lebih cenderung untuk makan dengan banyak sehingga tubuh menjadi penat.

“Kalau ikut sunah nabi, kita disarankan untuk mengambil satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga lagi udara.

“Malangnya kita mengambil makanan lebih daripada jumlah tersebut disebabkan lapar dan akhirnya kita menjadi penat (mengantuk),” ujarnya.

Sumber makanan yang diambil juga penting untuk memastikan tubuh kekal cergas dan bertenaga ketika berpuasa.

Menurut Aminah, makanan tinggi karbohidrat (nasi, roti, mi) dan makanan yang kaya dengan protein seharusnya dikurangkan ketika berpuasa dan digantikan dengan buah dan sayur.

“Untuk mengekalkan tenaga sepanjang berpuasa dan mengelak daripada berasa mengantuk, buah kurma juga dapat memberi tenaga,” ujarnya.

Katanya lagi, pengambilan sumber makanan pada hari biasa dengan bulan puasa adalah sama sahaja dan tiada keperluan untuk menambah sumber lain.

“Bagi saya, waktu puasa sama seperti hari-hari lain. Mereka yang berpuasa tetap kena makan, cuma tidak mengambil sebarang makanan atau minuman pada waktu siang.

“Seperkara lagi, amalkan mengambil susu dan jus buah ketika bersahur atau berbuka puasa. Saya lihat masyarakat kita kurang makan buah dalam diet sehari-harian,” katanya.

Hakikatnya, seseorang itu perlu berbuka dengan cara sederhana dan jangan makan terlalu banyak semasa sahur atau berbuka.

Sekiranya rasa mengantuk seseorang itu berterusan sehingga mengganggu kerja seharian, itu menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti Celiac, Anemia, Food Intolerance dan alahan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI