fbpx

Pengunjung leka menari terkejut diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Keasyikan sekumpulan pengunjung sebuah pusat hiburan berhibur sambil menari dikejutkan dengan kehadiran pihak polis yang menyerbu premis berkenaan di Sri Petaling, Brickfields, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.10 malam susulan maklumat yang disalurkan oleh orang awam tentang sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sewaktu serbuan dilakukan, didapati pengunjung berada di dalam premis sedang leka mendengar muzik yang kuat sehingga ada yang menari dan tidak megamalkan penjarakan sosial.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seramai 121 orang berada di dalam premis tersebut yang terdiri daripada 112 orang pengunjung iaitu 72 Lelaki dan 40 wanita serta sembilan orang pekerja premis iaitu empat lelaki dan lima wanita,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Saiful Annuar, tindakan kompaun telah diambil terhadap 109 pengunjung warga tempatan, seorang penduduk sementara dan seorang penjaga premis manakala tiga warga asing telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.

“Pihak polis turut merampas beberapa peralatan milik premis dan ujian saringan air kencing juga telah dilakukan ke atas 45 orang pengunjung premis tersebut namun kesemua mereka didapati negatif daripada sebarang penggunaan dadah.

“Tindakan dan siasatan adalah di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 25 (a) dan Seksyen 25 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021,” ujar beliau. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI