fbpx

Hasrat makan siput sedut tak tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba mengusung mayat Faiz yang ditemui di kawasan paya bakau di Kampung Air Tawar, Merlimau kelmarin.

MELAKA – “Mana tahu ada rezeki kita mak, dapat kita makan siput sedut masak lemak berbuka puasa nanti.”

Itulah kata-kata terakhir Faiz Rosni, 26, sebelum meninggal dunia ketika mencari siput belitung di Merlimau di sini kelmarin.

Mangsa ditemui pasukan bomba pukul 4.10 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat diserang asma di kawasan paya bakau di Kampung Air Tawar.

Ibunya, Norhaiyati Jamil, 43, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu keluar mencari siput belitung bersama bapa saudaranya kira-kira pukul 5 pagi dan sempat bersalaman dengannya selepas bersahur.

Menurutnya, Faiz memang menghidap asma sejak kecil, namun tetap ingin mencari siput itu apabila melihat ibu dan adik-beradiknya yang lain gemar menikmati juadah siput masak lemak yang dijamu mereka dua hari lalu.

“Dua hari lepas, kami enam sekeluarga berbuka puasa makan siput masak lemak, tetapi tak banyak, cuma dua kilogram siput yang dibeli di pasar, maka berebut-rebutlah makan siput.

“Jadi apabila dia tengok ke­adaan macam itu, dia mahu ikut pak cik saudaranya pergi mencari siput,” katanya sebak ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumah­nya di Taman Dato Aziz di sini semalam.

Norhaiyati juga hiba apabila mengenangkan hasrat anaknya itu yang bersungguh-sungguh ingin membelikan keluarganya baju raya menggunakan duit skim i-Sinar.

“Dua minggu lalu, dia ada luahkan mahu belikan baju raya guna duit i-Sinar sebanyak RM500. Adik-beradik pun teruja nak pilih warna baju raya nanti.

“Namun tak sangka pukul 3.45 petang (kelmarin), pak ciknya datang ke rumah bersama polis memberitahu, Faiz hilang dan pihak berkuasa sedang mencarinya. Pada pukul 5 lebih dimaklumkan bomba telah me­nemui mayatnya,” ujarnya.

Norhaiyati berkata, berita tersebut amat meruntun jiwanya dan anak-anak yang lain selepas baru sahaja kehilangan suami, Rosni Ma’in, 48, pada Oktober tahun lalu akibat kanser hati.

Ujarnya, jenazah anaknya itu selamat dikebumikan bersebelahan pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berangan Enam, Umbai semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, panggilan kecemasan diterima pukul 1.41 tengah hari dan sepasukan lima pegawai kanan dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Selepas dua jam mencari, kami menemui mangsa di dalam kawasan berselut dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI