fbpx

Syed Izzat anak harapan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Syed Izzat dibawa ke Masjid Al Mukhlisin di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – “Arwah tonggak keluarga, dia bantu adik-adik selepas ayahnya tidak dapat be­kerja buat sementara.”

Demikian kata ibu saudara ­kepada seorang pekerja penghantar makanan, Allahyarham Syed Izzat Izzudin yang maut dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat dan angin ribut kelmarin.

Menurut Afida Arifin, Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada lima beradik menjadi tonggak keluarga selepas ayahnya sakit dan perlu berehat sementara.

“Ayah Allahyarham terpaksa berehat sementara dan tidak boleh bekerja kuat kerana me­nunggu tarikh untuk menjalani pembedahan.

“Susulan itu, arwah mengambil tugas membantu keluarga kerana masih ada adik-adik yang bersekolah, malah sebelum kejadian dia sempat menghantar adiknya ke sekolah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang anak yang baik, mendengar kata dan sangat disenangi oleh anggota keluarga lain.

“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini dia ada menunjukkan perubahan sikap seperti mula mendalami ilmu agama dan se­ring menyimpan tasbih di bawah bantalnya.

“Orang muda seusianya bia­sanya ceria tetapi arwah berubah seolah-olah dia tahu ajalnya akan tiba,” ujarnya.

Kelmarin Syed Izzat Izzudin berusia 20 tahun maut dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat di Taman Len Seng, Cheras.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke sebuah stesen minyak ­berhampiran dalam keadaan hujan lebat.

Video berdurasi 18 saat me­maparkan Allahyarham diusung orang ramai juga tular di laman media sosial.

Jenazah selamat dikebumikan di Masjid Al Mukhlisin, Alam Damai di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan dikafankan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia selepas proses bedah siasat ­selesai.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI