fbpx

[VIDEO] Tradisi bedil di Puncak Panorama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Syahiran memasukkan bunga api jenis Starshell ke dalam pelancar sebelum meletupkannya di Puncak Panorama, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu sebagai isyarat waktu berbuka puasa dan imsak.

KUALA TERENGGANU – Tradisi meletupkan bedil bagi memberi isyarat kepada waktu berbuka puasa dan imsak pada Ramadan tahun ini bukan sahaja dapat didengari oleh penduduk daerah ini, malah turut dirasai sehingga ke Seberang Takir di Kuala Nerus.

Meletupkan bedil pada bulan Ramadan merupakan tradisi yang diwarisi sejak sekian lama selepas penggunaan genta atau loceng besar yang bermula pada zaman Sultan Terengganu ke-11, Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1881.

Kakitangan Red Flame Special Effects Sdn. Bhd., Mohd. Syahiran Shafie, 33, berkata, dia diberikan tanggungjawab meletupkan bedil tersebut di Puncak Panorama, Bukit Pak Apil di sini pada setiap waktu imsak dan berbuka setiap hari sepanjang bulan Ra­madan ini.

“Bedil akan diletupkan bermula pada malam pengisytiharan satu Ramadan sehingga 6 Syawal. Satu bedil akan diletupkan pada setiap waktu berbuka puasa.

“Dua kali bedil pula sebagai isyarat penduduk sedang bersahur. Bedil pertama pada lima minit sebelum masuk waktu imsak, manakala satu lagi tepat pada waktu imsak,” katanya ketika ditemui Kosmo! sejurus meletupkan bedil untuk waktu berbuka puasa di sini kelmarin.

Mohd. Syahiran berkata, selain itu, tujuh bedil akan dile­tupkan masing-masing sebaik pengisytiharan 1 Ramadan dan 1 Syawal diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Beliau yang berpengalaman mengendalikan bedil tersebut sejak tahun 2007 berkata, proses meletupkan bedil akan dilakukan dengan kehadiran seorang anggota polis dari Bahagian Persenjataan dan Bahan Letupan Ibu Polis Kontinjen (IPK) Terengganu setiap kali menjalankan tugasan berkenaan.

“Bunyi bedil yang dihasilkan daripada bunga api jenis Starshell yang didatangkan dengan permit khas dari China.

“Mercun itu akan dimasukkan ke dalam pelancar diperbuat daripada paip besi yang diletakkan di puncak bukit. Letupan dilakukan dengan menggunakan alat kawalan di kawasan yang jaraknya kira-kira 30 meter dari pelancar,” katanya.

Mohd. Syahiran memberitahu, beliau akan menekan suis bedilan tersebut berpandu azan yang disiarkan stesen radio tempatan.

Katanya, berdasarkan maklum balas penduduk, bunyi bedil itu bukan sahaja boleh didengari oleh penduduk pusat bandar raya ini, malah hingga ke Seberang Takir, Kuala Nerus. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI