fbpx

Padah jadi ‘keldai akaun’ scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Cubaan seorang wanita untuk ‘makan atas angin’ dengan memberikan maklumat akaun bank miliknya kepada sindiket penipuan pinjaman wang membawa padah apabila dia ditahan polis, di sini semalam.

Wanita tempatan berusia 27 tahun itu tidak sempat menikmati komisyen daripada sindiket berkenaan apabila dia ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 7 September 2020 lalu, seorang lelaki berusia 36 tahun membuat laporan polis mendakwa ditipu membabitkan kerugian berjumlah RM25,760.

Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu telah melayari laman sosial Facebook dan ternampak iklan pinjaman wang peribadi ketika dia berada di pejabatnya di Seksyen 51, di sini.

“Berikutan itu, dia meninggalkan nombor telefonnya di ruangan komen dan pada hari yang sama juga, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ryan Tan.

“Mangsa memberitahu lelaki itu bahawa dia berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000, bagaimanapun dia diminta membuat bayaran terlebih dulu sebelum wang pinjaman diberi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa nekad memasukkan wang secara berperingkat ke dalam empat akaun bank berlainan berjumlah keseluruhan RM25,760 sepanjang September itu.

“Mangsa yang tersedar ditipu kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan polis akhirnya berjaya mengesan dan menahan seorang wanita yang dipercayai bertindak sebagai ‘keldai akaun’ yang memberikan maklumat akaunnya kepada individu lain,” ujarnya.

Katanya, suspek diberi jamin polis sebaik keterangan selesai diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI