fbpx

Jujusoya mahu harumkan nama UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHD. ANIQ bersama rakan-rakan yang mempunyai bakat serta minat sama telah bergabung menubuhkan pasukan e-Sukan yang dinamakan sebagai Xtinct.

Oleh SITI NURHEZZATY MOHAMAD HAMDAN

MESKIPUN masih bergelar seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia tidak menghalang Muhd. Aniq Daniel Roslan, 20, daripada memasang impian untuk muncul sebagai atlet profesional e-Sukan negara pada masa depan.

Berbekalkan minat serta bakat dalam permainan video iaitu Mobile Legends Bang Bang (MLBB), Muhd. Aniq yang popular dengan nama Jujusoya tidak teragak-agak untuk menyertai pasukan yang ditubuhkan pada Disember lepas iaitu Xtinct.

Pasukan Xtinct ini pula ­diwakili lima lagi rakannya yang mesra dikenali sebagai Ash, J7even, Sonata, Zenohart dan Jax dan pernah menyertai pertan­dingan di peringkat universiti.

Menurut Muhd. Aniq, dia memang minat terhadap e-Sukan malah bersedia meneruskannya impiannya untuk menjadi seorang pemain profesional, namun tidak mengabaikan pelajaran untuk melakar keputusan cemerlang dalam bidang akademik.

“Apa yang penting adalah pengurusan masa antara berlatih untuk e-Sukan agar dapat teruskan momentum permainan, namun tidak sesekali meninggalkan pembelajaran meskipun ketika ini belajar menerusi atas talian susulan pandemik Covid-19.

“Jika ada kejohanan, saya dan rakan-rakan sepasukan akan melakukan latihan intensif, lazimnya seminggu sebelum perlawanan, kami berterusan berlatih meskipun berjauhan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

MUHD. ANIQ (tengah) yang dikenali sebagai Jujusoya ceria memegang trofi kemenangan selepas menjuarai salah satu pertandingan e-Sukan kategori MLBB pada kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2020.

Muhd. Aniq yang merupakan anak kelahiran Kelantan memberitahu, susulan pandemik ­Covid-19, mereka sepasukan masih tidak dapat bertemu secara bersemuka kerana masing-masing mempunyai komitmen akademik, selain duduk berjauhan.

“Tidak dinafikan situasi itu mendatangkan kesukaran untuk berkomunikasi sesama sendiri lebih-lebih lagi ketika perlawanan berlangsung, kadang kala berlaku gangguan teknikal daripada syarikat telekomunikasi dan ia tidak boleh dielakkan.

“Disebabkan itu, kami mengguna aplikasi Discord ketika permainan tetapi malangnya masih sukar terutamanya ketika mahu menyampaikan pelbagai strategi,” ujarnya.

Sebagai rekod, Xtinct pernah mewakili UKM pada kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) yang merupakan kejohanan tertinggi yang mereka sertai sejak bergabung sebagai pasukan.

Justeru, Muhd. Aniq berhasrat untuk terus menjulang nama UKM pada kejohanan tertinggi e-Sukan pada masa depan, selain menjadi pasukan kebangaan buat institusi pengajian tinggi.

“Bukan mudah untuk memberi tumpuan kepada permainan video atas talian jika tidak mempunyai minat bahkan ia menjadi sia-sia jika niat hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam,” kata Muhd. Aniq.

Muhd. Aniq mendedahkan, Jujusoya mempunyai akaun Youtube dengan jumlah 218,000 pengikut, manakala memperoleh 621,000 tontonan tertinggi terhadap video perkongsian mengenai pengalaman, tips serta hero-hero yang digunakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI