fbpx

Bank Rakyat umum dividen 13 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 13 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2020, berbanding 14 pe­ratus pada tahun sebelumnya.

Jumlah dividen itu melibatkan pembayaran berjumlah RM373.36 juta kepada 832,055 anggota individu dan seramai 2,247 anggota koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, meskipun berdepan cabaran musim pandemik, Bank Rakyat masih mampu mengekalkan pembayaran dividen pada kadar yang kompetitif.

“Situasi kewangan bank masih kukuh sehingga kita mampu mengisytiharkan dividen yang agak selesa tanpa menjejaskan pendapatan bank selaras de­ngan persetujuan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Pembayaran dividen ini diharap dapat membantu me­ringankan beban kewangan kepada anggaran 5.1 juta rakyat berdasarkan empat orang satu keluarga dengan pembayaran dividen akan mula dilakukan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan bagi tahun ber­akhir 31 Disember 2020.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, selama 22 tahun Bank Rakyat memberi dividen pada angka dua digit kecuali semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dengan kadar lapan peratus.

Beliau turut mengumumkan keuntungan cukai dan zakat Kumpulan Bank Rakyat (Kumpulan) bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2020 sebanyak RM1.44 bilion dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 bilion.

“Prestasi kewangan 2020 didorong aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pendapatan pembiayaan berikutan kadar dasar semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan margin.

“Bagaimanapun pendapatan operasi bersih Kumpulan me­ningkat 6.4 peratus kepada RM3.41 bilion hasil daripada kos pendanaan yang lebih rendah yang disebabkan pengurusan liabiliti berkesan,” katanya.

Tambah beliau, pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan meningkat sebanyak 25.5 peratus kepada RM8.28 bi­lion berbanding RM6.60 bilion pada tahun sebelumnya dengan

Kumpulan berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan sihat di bawah 40 peratus iaitu lebih rendah daripada kadar purata industri hasil pengurusan kos efektif.

Abd Rani berkata, Kumpulan turut merekodkan peningkatan aset 1.8 peratus atau RM1.95 bi­lion kepada RM111.75 bilion berbanding RM109.80 tahun lalu.

Tambah beliau, ia didorong pertumbuhan baki pembiayaan sebanyak 6.9 peratus namun dinormalisasikan oleh aset perbendaharaan yang rendah selaras pengurusan liabiliti aset yang berkesan sepanjang tahun.

“Selain itu, pertumbuhan pembiayaan bersih sebanyak 6.9 peratus atau RM4.89 bilion kepada RM76.08 bilion daripada tahun lalu disumbangkan oleh pembayaran semula yang lebih rendah dalam tempoh penawaran moratorium selama enam bulan.

“Manakala jumah deposit Kumpulan termasuk akaun semasa dan simpanan (CASA) serta deposit berjumlah RM85.58 bilion berbanding RM83.83 bilion pada tahun sebelumnya iaitu meningkat kepada 2.1 peratus atau RM1.75 bilion,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI