fbpx

Hidup mewah jadi tali barut sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kenderaan mewah yang disita dipercayai hasil kegiatan sindiket yang menggodam pangkalan data JIM.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan kegiatan haram satu sindiket kartel yang membolot projek-projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak 2014.

Tujuh lelaki termasuk seorang ketua sindiket diberkas kerana disyaki memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan menerusi lebih 150 buah syarikat.

SPRM kemudian membongkar kegiatan satu sindiket yang menggodam pangkalan data Jabatan Imigresen untuk pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara palsu.

Sebanyak 30 unit hartanah dan 66 buah kenderaan bernilai RM25.4 juta disita. Sekurang-kurangnya 11 orang termasuk ketua sindiket bergelar Datuk ditangkap.

Dalam kedua-dua kes ini terdapat penglibatan ‘orang dalam’ jabatan atau agensi kerajaan sendiri yang menjadi tali barut. Mereka membocorkan dan menyalurkan maklumat sulit kerajaan kepada sindiket terbabit.

Mereka yang mempunyai kuasa sanggup bersekongkol dengan kejahatan demi kemewahan hidup. Tidak hairanlah mengapa terdapat pihak berkuasa melindungi kegiatan haram kumpulan jenayah te­rancang Geng Nicky.

Hidup bagaikan di syurga apabila ditawarkan wang tunai, kenderaan mewah, malah wanita.

Tali barut wujud sejak dahulu lagi. Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, muncul dalam kalangan penduduk tempatan yang tergamak menggadai maruah diri dengan menjadi tali barut atau perisik Jepun.

Mereka gilakan kuasa, pangkat dan tamakkan harta sehingga sanggup melihat saudara sendiri dibunuh.

Dalam filem Sarjan Hassan, ada watak bernama Buang yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri dengan menjadi tali barut tentera Jepun. Kita yang menonton filem itu pastinya membenci watak Buang yang penuh dengan kejahatan walaupun itu sekadar babak-babak di layar perak.

Dalam dunia moden hari ini, kemunculan tali barut tidak akan menyebabkan saudara kita dibunuh macam zaman penjajah. Pengkhianat negara sekarang adalah ‘orang dalam’ yang membantu penjenayah merompak wang kerajaan dan melindungi kegiatan haram.

SPRM mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lalu.

Dari 2015 hingga 2020, sejumlah 5,652 tangkapan dibuat dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus terdiri daripada penjawat awam.

Golongan ini mudah terdorong untuk menerima habuan. Kadangkala habuan itu sekadar duit kopi bawah meja sahaja, namun semuanya disapu.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga. SPRM sentiasa memburu mereka, tunggu masa dan peluang sahaja.

Janganlah sampai jadi seperti Si Buang, dikejar penduduk kampung sehingga petualang negara itu akhirnya mati di tangan Sarjan Hassan.

“Dengarlah wahai kawan-kawanku sekalian. Aku berharap tiada lagi manusia seperti ini di tanah air kita kerana manusia seperti inilah yang merosakkan keturunan kita.”

Itu dialog di akhir cerita Sarjan Hassan. Diharapkan manusia seperti Si Buang tiada lagi hidup di negara kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI