fbpx

Hati-hati bersedekah di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

MELANGKAH ke bulan Ramadan, umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah dan amal kebajikan bagi merebut keberkatan serta ganjaran yang besar.

Selain mempertingkatkan ibadah, amalan mulia yang amat digalakkan ialah bersedekah kepada golongan memerlukan.

Justeru, pada bulan itu kita melihat ramai yang tidak putus-putus bersedekah termasuk memberi makan kepada anak yatim dan fakir miskin.

Melihat kepada suasana itu, ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan meraih simpati orang ramai untuk kaut untung secara mudah.

Jadi, orang ramai harus lebih berhati-hati kerana dikhuatiri sumbangan diberikan disalur kepada pihak salah yang mungkin didalangi sindiket penipuan.

Lebih membimbangkan, sekiranya sindiket itu turut memperalatkan anak yatim, wanita, orang kelainan upaya untuk ‘mengha­lalkan’ perbuatan mereka.

Kegiatan licik pihak tidak bertanggungjawab itu juga dikatakan lebih mudah apabila hanya perlu menggunakan media sosial dan aplikasi WhatsApp untuk merayu sumbangan orang ramai.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, bersedekah di bulan puasa digalakkan kerana amalan itu mengajar untuk menyemai sifat simpati dan kasih kepada fakir miskin.

“Nabi Muhammad apabila masuk Ramadan menjadi seorang yang sangat pemurah sehingga dibuat perbandingan se­perti mana lajunya angin bertiup, lebih laju atau segera lagi Nabi bersedekah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai perlu berhati-hati kerana ada individu atau kelompok yang mula ‘keluar’ untuk mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

“Kita tidak tuduh sesiapa, tetapi ada kemungkinan berlaku pihak tertentu ambil kesempatan daripada kemurahan hati umat Islam dengan menyalahgunakan sumbangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mengenal pasti adakah pihak tersebut diyakini mampu untuk menyalurkan sumbangan diberi kepada yang berhak.

“Paling hampir ialah bersedekah menerusi masjid-masjid berdekatan. Pada bulan Ramadan, institusi itu me­nganjurkan kutipan sumbangan iftar.

“Di Kedah, kita ada Asnaf Care dianjurkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) khusus untuk sumbangan kepada golongan asnaf,” jelasnya.

Beliau memaklumkan terdapat pihak yang mengambil ke­sempatan pada bulan Ramadan sebelum ini.

“Saya harap tidak ada lagi pihak yang menyalahgunakan sumbangan orang ramai yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Ini adalah amanah yang perlu ditunaikan dengan sebaiknya. Saya nasihatkan kepada pihak yang pernah melakukan perkara itu sebelum ini supaya bertaubat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi Asnaf Care melalui ht­tps://asnafcare.com.my

“Sumbangan itu adalah untuk pelaksanaan food bank atau Pusat Agihan Makanan Fakir dan Miskin di 578 masjid di seluruh negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata, LZNK bercadang untuk meng­agihkan 45,000 ekor ayam kepada 15,000 keluarga asnaf yang menerima bantuan kewangan bulanan pada Ramadan dan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jumlah keseluruhan asnaf fakir dan miskin bagi tahun 2018 hingga 2021 di Kedah adalah seramai 76,078 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI