fbpx
Gajah-gajah ini melakukan perjalanan sejauh 500 kilometer untuk pulang ke Surin dari Pattaya selepas industri pelancongan Thailand terjejas akibat pandemik Covid-19. – The Thaiger News

Gajah ‘menganggur’ berjalan 500 kilometer pulang ke Surin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Lima ekor gajah bersama gembalanya berjalan 500 kilometer dari Pattaya ke wilayah Surin di timur laut Thailand selepas berputus asa dengan industri pelancongan yang malap, lapor akhbar The Thaiger News kelmarin.

Gembala itu terpaksa ber­jalan kaki pulang ke Surin ke­rana tidak mampu menyewa treler untuk membawa gajah-gajahnya.

Selepas tidak lagi menerima pelancong dari China yang me­rupakan pelanggan utama aktiviti menunggang gajah, dia membuat keputusan untuk kembali ke Surin.

Gembala tersebut, Napalai Mai-ngam memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa dia dan saudara-maranya datang untuk bekerja di resort Tambon Lam Huay Yai, Pattaya lima tahun lalu bersama lima ekor gajah.

Sebelum ini, mereka me­raih pendapatan 75,000 baht (RM9,856) sebulan termasuk tip diberikan pelancong yang menaiki haiwan itu.

Bagaimanapun, selepas Thailand menutup sempadannya berikutan pandemik Covid-19, pelancong China tidak lagi mengunjungi resort tersebut, manakala majikan Mai-ngam terpaksa memotong gajinya.

Biarpun Thailand memulakan program vaksinasinya, aktiviti pelancongan seperti kem gajah tidak akan kembali ber­operasi dalam masa terdekat.

Mai-ngam dan keluarganya terpaksa menerima realiti itu dan memulakan perjalanan jauh untuk pulang ke Surin.

Bagi mengelak matahari terik, mereka akan berjalan awal pagi ketika cuaca masih sejuk dan berharap jalan-jalan tepi hutan yang dilalui selepas keluar dari Pattaya boleh memberi peluang kepada gajah-gajah itu untuk makan.

Keluarga itu menolak wang derma daripada orang ramai kerana enggan perjalanan jauh itu dianggap sebagai publisiti murahan.

Mai-ngam bagaimanapun berterima kasih kepada orang awam yang memberikan air, buah-buahan dan juga makanan kepada mereka seke­luarga. – Agensi