DUNGUN – Dua beranak terpaksa berkawal di ladang kelapa sawit pada waktu malam termasuk pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua bagi menghalau sekumpulan gajah daripada terus merosakkan tanaman mereka di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini.
Dua minggu lalu, sebahagian pokok kelapa sawit dan tanaman kontan lain yang diusahakan mereka di ladang seluas tujuh hektar musnah dirosakkan sekumpulan gajah.
Osman Maliki, 23, berkata, ladang kelapa sawit mereka telah diceroboh kumpulan haiwan liar tersebut sebanyak dua kali.
“Kejadian pertama berlaku pada 2 April lalu sebelum kumpulan gajah liar terbabit kembali memasuki ladang kami dua hari kemudian.
“Ia menyebabkan banyak pokok sawit, ubi kayu, pisang dan kelapa yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu mengalami kerosakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Osman memberitahu, kemusnahan hasil tanaman mereka itu amat menyedihkan dia dan bapanya, Maliki Said, 56.
Katanya, walaupun pagar elektrik telah dipasang, ia masih gagal mengelak ladang mereka daripada diceroboh haiwan liar berkenaan.
“Habis pagar elektrik dipasang kami rosak dirempuh sekumpulan gajah,” ujarnya.
Tambahnya, pencerobohan itu menyebabkan dia dan bapanya terpaksa berkawal di ladang mereka pada waktu malam.
Katanya, mereka juga memasang unggun api sebagai ikhtiar mengelak gajah memasuki semula kawasan ladang.
“Aduan juga telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
“Kami berharap tanaman hasil titik peluh kami tidak akan dirosakkan lagi sekumpulan gajah pada masa hadapan sebab kami belum merasa hasilnya,” ujar Osman.














