fbpx

Kini semua orang boleh jadi jutawan seperti Nicky

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MENGIKUT data laman web Statista, pada tahun 2019, terdapat 14 bilionair yang tinggal di Malaysia. Berdasarkan angka Forbes untuk 2020, keseluruhan kekayaan 10 orang paling kaya di Malaysia bernilai AS$53.35 bilion atau RM224 bilion.

Untuk perbandingan, kekayaan 10 orang terkaya di Malaysia mampu membina 22 menara berkembar Petronas (berdasarkan anggaran harga asal pembinaan), 448 hospital atau menggaji enam juta orang pekerja dengan pendapatan RM36,000 setahun.

Itu baru bilionair. Pada masa sama, menurut Statista, terdapat kira-kira 16,000 jutawan yang menetap di negara ini.

Sememangnya jika diambil kira angka itu negara ini, maka ramai yang sangat berjaya.

Jelas bukan Amerika Syarikat sahaja merupakan negara yang terbuka dengan peluang. Malaysia sendiri penuh dengan peluang keemasan.

Cuma angka jumlah jutawan di negara ini mungkin tersasar. Sebenarnya jumlah jutawan di negara ini mungkin lebih 100 ribu orang.

Mana tidaknya, jika diambil kira penjenayah seperti ketua sindiket pe­ngubahan wang haram terbesar, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Nicky yang berusia 33 tahun itu dikatakan mempunyai aset bernilai RM1 bilion.

Ketika meloloskan diri daripada tangkapan polis, pemuda yang bermula sebagai pencuci kereta itu dikatakan membawa bersama-samanya lapan beg besar mengandungi jutaan ringgit.

Akaun bank Nicky mempunyai simpanan RM40 juta.

Dia juga terlepas dalam operasi Pelican 3.0 kerana ada tali barut yang memberi maklumat kepadanya.

Sememangnya Malaysia bumi bertuah. Ada peluang individu yang bermula sebagai pencuci kereta sehingga membina empayar Macau Scam terbesar di Malaysia.

Di mana di dunia pemuda dalam usia 24 tahun sahaja mampu menyewa 48 unit kondominium untuk operasi penipuan.

Bukan itu sahaja, dia boleh menggaji lebih 30 pegawai pihak berkuasa yang dihadiahkan perempuan, kereta dan wang tunai. Memang ‘best’ peluang yang dihidang di Malaysia kepada mereka yang bijak.

Apa sahaja boleh dilakukan asalkan ada ‘pulus’. Jangan lupa untuk berjaya sebagai penyangak, perlu mendapatkan darjah kebesaran.

Sesi ambil gambar dengan golongan berpengaruh adalah wajib untuk mengukuhkan kredibiliti seseorang.

Dalam kes Nicky, dipercayai tujuh pingat kebesaran yang dimilikinya adalah sah. Pada masa sama, jangan lupa menderma kepada badan kebajikan dan menghantar kenyataan kepada media. Pastikan artikel itu keluar di media yang sah.

Jelas Malaysia negara bertuah. Bukan sahaja ‘Cash is King’ tetapi sampai ke tahap ‘Cash is God’. Kalau slogan AirAsia ‘Kini Semua Orang Boleh Terbang’, kepada ramai yang menipu dan membayar rasuah boleh guna slogan ‘Kini Semua Orang Boleh Jadi Jutawan’. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI