fbpx

Percepat vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak merupakan kumpulan yang tidak tersenarai untuk menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sama ada dalam fasa pertama, kedua mahupun ketiga sedangkan kanak-kanak juga merupakan golongan yang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap agar pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak kanak dapat dipercepatkan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perkembangan terkini peningkatan kes Covid-19 dalam kluster pendidikan yang melibatkan murid, guru dan kakitangan sekolah.

Menurutnya, pada masa ini, tahap keberkesanan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun masih lagi dalam peringkat kajian.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga kepentingan kanak-kanak di Malaysia, usaha memerangi pandemik Covid-19 harus mengambil kira keperluan golongan ini.

“Kementerian menzahirkan rasa kebimbangan kerana kanak-kanak merupakan kumpulan yang tidak tersenarai untuk menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sama ada dalam fasa pertama, kedua mahupun ketiga sedangkan kanak-kanak juga merupakan golongan yang berisiko mendapat jangkitan Covid-19,” katanya hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, kementerian komited dalam usaha membantu pihak kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat perlu divaksinkan bagi mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kementerian akan berhubung dan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 untuk memastikan kebajikan dan kesihatan kanak-kanak di negara ini terus terpelihara,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI